Berita

Diskaun RM65,000, MARA bakal hantar semula pelajar perubatan ke Universiti Al-Azhar

- Diterbit 21 April 2025 9:00 AM MYT

PELUANG anak-anak Melayu-Bumiputera untuk bergelar doktor kembali terbuka luas apabila Universiti Al-Azhar bersetuju menurunkan yuran pengajian pelajar tajaan MARA dalam bidang perubatan daripada RM150,000 kepada hanya RM85,000 bagi tempoh lima tahun.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, keputusan itu dicapai hasil rundingan bersama pihak universiti empat bulan lalu dan berita pengesahan rasmi baru sahaja diterima.

“Alhamdulillah, berita ini amat menggembirakan. Insya-Allah saya akan mengarahkan MARA untuk segera menyiapkan kertas cadangan kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, untuk dibentangkan kepada Majlis Jemaah Menteri.

“Tujuannya adalah bagi membolehkan MARA menyambung semula penajaan kepada pelajar-pelajar Melayu-Bumiputera dalam bidang perubatan dan pergigian di Universiti Al-Azhar,” katanya dalam perkongsian di Facebook hari ini.

Beliau turut memaklumkan bahawa video pertemuan rundingan bersama Universiti Al-Azhar telah dikongsikan menerusi akaun TikTok miliknya sebelum ini.

“Inisiatif ini bukan sahaja menjimatkan kos, malah membuka ruang lebih besar kepada anak bangsa untuk melanjutkan pengajian dalam bidang kritikal,” katanya.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas