DUNIA sudahpun maklum berkenaan kedudukan Malaysia dalam isu Palestin sebagai negara yang lantang menyokong perjuangan Palestin di peringkat antarabangsa dan kalangan negara Islam.
Pensyarah Kanan (Komunikasi Liberal) Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr Abdul Aziz Azizam berkata, begitu juga di platform global seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan ASEAN juga aktif perjuangkan isu Palestin.
“Penglibatan Kolektif ASEAN dalam Isu Palestin dilihat Malaysia berada dalam kedudukan unik untuk memimpin ASEAN dalam menyokong usaha pembangunan semula Palestin.
“Namun penting untuk terlebih dahulu menilai beberapa cabaran yang saya fikir perlu difahamkan dalam komposisi ASEAN itu sendiri,” katanya.
Menurut Abdul Aziz, rakan seperjuangan kuat dalam ASEAN dari rantau ini yang menyokong Palestin adalah Malaysia, Indonesia dan Brunei.
Bagaimanapun ada juga katanya, beberapa negara dalam ASEAN yang tidak begitu jelas tentang pendirian mereka dalam konflik di Gaza seperti Thailand, Filipina, Singapura dan Vietnam oleh kerana hubungan ekonomi mereka yang rapat dengan Amerika Syarikat (AS) dan sekutu mereka yang menyokong Israel.
“Walaupun ASEAN bukan organisasi politik yang secara langsung terlibat dalam konflik antarabangsa, ia mempunyai pengaruh besar dalam hal ehwal diplomasi serantau dan global.
“Untuk itu Malaysia mempunyai peluang yang baik untuk memainkan peranan dan strategi yang betul dalam menggerakkan ASEAN secara kolektif.
“Bagi negara-negara yang ‘kelabu’ pendirian mereka, galakan dan advokasi Malaysia untuk negara itu memberi sokongan dan komitmen ke arah kemanusiaan dan ekonomi sejagat.
“Ini lebih sesuai tanpa mereka perlu membuat apa-apa pendirian politik yang mungkin akan beri risiko kepada mereka,” katanya.
Jelas beliau, sekiranya Malaysia berjaya dalam koordinasi ini dengan menyatukan ASEAN di bawah satu objektif yang jelas untuk membangunkan Palestin, ini bakal menunjukkan kekuatan soft-power Malaysia.
Katanya, ia juga meningkatkan imej Malaysia di peringkat antarabangsa sebagai contoh ‘actor’ diplomasi kemanusiaan di peringkat dunia.
“Mengkoordinasi ASEAN secara kolektif untuk melihat pembangunan Palestin sebagai sebuah isu yang penting bagi semua negara ASEAN.
“Saya fikir agak mencabar, namun ia ada peluang. Strategi ini adalah satu perkara yang kompleks kerana ini bukan semata-mata inisiatif ekonomi, malah turut melibatkan diplomasi kemanusiaan dan pendirian yang pelbagai antara negara,” katanya. – WILAYAHKU