PENGALAMAN ditipu hingga mengalami kerugian ratusan ribu bagi menubuhkan stesen televisyen beberapa tahun lalu mencetus idea kepada Datuk Afdlin Shauki menghasilkan naskah berkaitan ‘scammer’ menerusi drama epsiod Din Tiger.
Drama sebanyak lapan episod itu bakal menemui penonton bermula 6 Januari depan setiap Isnin jam 11 malam melalui saluran Degup HD, Unifi TV.
Menurut Afdlin yang turut bertindak selaku pengarah drama terbitan syarikatnya KL Post, dia mendapat bantuan daripada dua bekas pegawai polis, Rahmat Fitri Abdullah dan Kamal Affandi Hashim yang pernah berkhidmat di bahagian jenayah komersial bagi mendapatkan ‘input’.
“Ketika saya menyatakan hasrat kepada kedua bekas anggota polis itu untuk menghasilkan drama berkaitan ‘scammer’, mereka minta saya berhati-hati kerana orang yang terbabit dengan dunia penipuan tentu tidak suka saya membuka cerita mereka.
“Tapi saya lebih rela berkongsikan kepada penonton pengalaman-pengalaman saya dan mereka yang pernah di ‘scam’ tidak kiralah sama ada ‘love scam’ atau apa saja supaya dapat menyedarkan orang ramai.
“Kita sering menyangka mereka yang menjadi mangsa ‘scammer’ adalah orang yang kurang bijak, tetapi ramai saja di kalangan mereka yang bijak pandai dan bekerja dalam bidang profesional juga menjadi mangsa,” katanya yang ditemui di pada majlis sidang media dan memperkenalkan barisan pelakon drama itu di Hyatt Place, Bukit Jalil, petang tadi.
Din Tiger hasil karya penulis skrip Norsyiella Annuar, Harris M Nor, Amin Shakib, Lepat dan Rahman Nayan itu membariskan pelakon hebat tanah air.
Selain mengarah, Afdlin juga merupakan salah seorang pelakon drama itu.
Turut membarisi drama bergenre aksi triller itu ialah Datuk Aaron Aziz, Tony Eusoff, Josiah Hogan, Datin Seri Nina Juren, Mia Sarah Shauki dan Adam Corrie Lee.
Drama ini mengisahkan mengenai pakar ‘scammer’, Din Tiger (Aaron Aziz), yang sudah tekad dan berazam untuk meninggalkan dunia kotornya kerana mahu membina kehidupan yang lebih baik.
Dia kemudiannya membuka kedai menjua gajet namun terjerat dengan kes berat dan terpaksa berdepan Boss Mario/ Tan Sri Aliff (Afdlin) yang tidak mahu membebaskannya begitu saja. – WILAYAHKU
[Iklan]