SEJAK lebih setahun menggalas tanggungjawab sebagai pemimpin negara, Perdana Menteri (PM), Datuk Seri Anwar Ibrahim terus bekerja keras untuk memastikan segala masalah yang dihadapi oleh rakyat dapat diselesaikan.
Malah gelaran Kerajaan Bekerja yang diberi kepada beliau bersama timbalan perdana menteri, menteri dan juga timbalan menteri dapat dilihat jelas melalui pelbagai gerak kerja yang dilakukan.
Namun begitu, masih terdapat juga segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab menghentam kerajaan dan seolah-olah menutup mata daripada melihat usaha beliau untuk meningkatkan ekonomi negara dan sebagainya.
Agak keterlaluan apabila ada yang melabel PM sebagai Bapa Pengumuman Malaysia yang hanya pandai membuat pengumuman sahaja tanpa sebarang langkah untuk melaksanakan.
Sebagai yang bijak pandai sepatutnya sebelum melemparkan tuduhan sebegitu kaji dahulu apa yang dilakukan oleh PM yang gigih memperjuangkan nasib rakyat, menjalin hubungan diplomatik serta membincangkan hal-hal ekonomi bersama pemimpin luar negara.
Misalnya baru-baru ini, Anwar yang melakukan lawatan kerja di Johor telah menzahirkan keyakinan bahawa Malaysia punya potensi dan kekuatan untuk diangkat sebagai sebuah negara yang maju, cemerlang dan dikagumi dunia.
“Kita perlukan ekonomi yang kukuh dan mampan. Namun syarat untuk kita mencapai matlamat ini hanyalah menerusi pengurusan agensi, jabatan dan kerajaan yang cekap dan bersih daripada rasuah.
“Inilah agenda yang sedang direncana Kerajaan Madani. Lebih utama adalah tanggungjawab rakyat, khususnya anak muda jika mahu selamatkan negara ini, pastikan tidak ada lagi pemimpin yang merompak harta rakyat dan negara untuk perkayakan diri dan keluarga,” ujar beliau.
Dalam masa yang sama, menerusi Facebook miliknya, Anwar menerima kunjungan hormat Menteri Luar Jerman, Annalena Baerbock dan delegasi yang kini sedang dalam lawatan ke Asia Tenggara yang terdiri daripada Filipina dan Singapura selain Malaysia.
“Beberapa perkara telah dibincangkan hatta mendapat persetujuan bersama dalam pengukuhan berkaitan aspek ekonomi, pendidikan, sains dan teknologi, TVET selain meningkatkan persefahaman antara budaya,” kata beliau.
Sebagai contoh usaha kerajaan untuk menarik pelabur-pelabur asing ke negara ini adalah pendekatan jangka panjang yang tentunya memberi kesan positif kepada ekonomi negara.
Tidak dinafikan, sebahagian usaha-usaha ini tentulah tidak dapat dilihat keberkesanan dalam tempoh yang pendek namun semua usaha atau pelan ekonomi yang dirancangkan memerlukan satu tempoh yang matang sebelum dapat diukur kejayaannya.
Mungkin aspirasi Madani sukar untuk dihadamkan kepada orang awam terutamanya mereka yang tidak cakna kepada suhu politik negara namun perkara yang dipentingkan adalah untuk mengubah cara fikir rakyat untuk membangun negara bangsa. – WILAYAHKU