Berita

Didik rakyat kenali usahawan mikro tempatan, ASEAN

KUALA LUMPUR, 24 Jun 2024 -- Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan ketika sesi soal jawab pada Persidangan Dewan Rakyat bagi Mesyuarat Kedua, Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen hari ini.
- Diterbit 7 April 2025 10:21 PM MYT

KEMENTERIAN Kewangan bersama Bank Negara Malaysia bakal menganjurkan Pameran Malaysia Open House @ ASEAN 2025 bertempat di Kuala Lumpur Convention Centre bermula hari ini hingga 10 April 2025.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pameran tersebut bertujuan untuk mendidik rakyat mengenali usahawan mikro tempatan dan juga ASEAN dengan lebih dekat agar
dapat menyemai rasa sepunya kepada rantau ini.

“Selain itu kita bawakan juga beberapa institusi kewangan
terkemuka di Malaysia untuk membuka ruang dan peluang kepada peniaga kecil untuk menambah baik perniagaan mereka.

“Inisiatif iTekad misalnya, dengan peruntukan sebanyak RM15 juta di bawah Belanjawan 2025 yang dibawakan oleh Bank Negara
Malaysia (BNM) merupakan sebuah program kewangan sosial yang bertujuan membantu usahawan mikro berpendapatan rendah memperkukuh pengurusan kewangan dan kepintaran dalam perniagaan ke arah menjana pendapatan yang berterusan,” ujar beliau dalam kenyataan.

Pameran tersebut dijangka mampu menarik minat pengunjung melalui segmen-segmen yang menonjolkan keunikan seni tradisi seperti demonstrasi lipatan tanjak, pembuatan songket dan telepok,
anyaman, tenunan keringkam dan manik serta produk ukiran kayu kaum Mahmeri.

“Pengunjung juga berpeluang mengenali Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan dengan lebih lanjut melalui pameran inovatif yang dibawakan khas oleh Jabatan Wilayah Persekutuan,” ujar beliau.

Pameran yang dibuka secara percuma kepada orang ramai ini menampilkan lebih 30 reruai dalam tiga zon utama iaitu Zon Kebudayaan, Zon Kewangan dan Ekonomi serta Zon Belia. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas