KATA orang, pengalaman mendewasakan dan mengajar erti kehidupan sebenar. Belajar daripada pengalaman lalu, selebriti popular Datuk Afdlin Shauki akui tidak mahu pengalamannya ditipu hingga mengalami kerugian ratusan ribu ringgit bagi menubuhkan stesen televisyen beberapa tahun lalu berulang.
Untuk itu, atas dasar tanggungjawab sosial dan sebagai peringatan buat masyarakat, Afdlin menghasilkan naskhah berkaitan ‘scammer’ menerusi drama epsiod Din Tiger.
Drama lapan episod itu telah menemui penonton bermula 6 Januari baru-baru ini, setiap Isnin pukul 11 malam melalui saluran Degup HD, Unifi TV.
Menurut Afdlin yang turut bertindak selaku pengarah drama terbitan syarikatnya KL Post, dia mendapat bantuan daripada dua bekas pegawai polis, Rahmat Fitri Abdullah dan Kamal Affandi Hashim yang pernah berkhidmat di bahagian jenayah komersial bagi mendapatkan ‘input’.
“Kita sering menyangka mereka yang menjadi mangsa ‘scammer’ adalah orang yang kurang bijak, tetapi ramai saja dalam kalangan yang bijak pandai dan profesional menjadi mangsa,” katanya yang turut berlakon dalam drama itu.
Turut sama beraksi ialah Datuk Aaron Aziz, Tony Eusoff, Josiah Hogan, Datin Seri Nina Juren, Mia Sarah Shauki dan Adam Corrie Lee.
Kesedaran tentang scam
BAGI artis versatil, Shiha Zikir, antara jenayah scam yang berlaku dalam masyarakat hari ini adalah termasuk penipuan, manipulasi dan penyalahgunaan kepercayaan.
“Jenayah scam ini satu masalah besar kepada masyarakat yang telah berlaku sekian lama. Ada saja kita dengar orang kena scam, ia seolah-olah tiada penyelesaian.
“Salah satu cara untuk memberi kesedaran agar masyarakat lebih berhati-hati adalah menerusi drama seperti Din Tiger ini.
“Syabas Datuk Afdlin dan team kerana menghasilkan karya yang memberi banyak manfaat kepada kita semua. Kiranya kita boleh cakap, kempen kesedaran jenayah scam menerusi drama.
“Apabila ada kempen sebegini, sudah tentu ia menggalakkan orang ramai untuk menyebarkan maklumat tentang scam dalam pelbagai saluran media sosial mereka.
“Kalau bukan sesama kita saling mengingatkan, siapa lagi? Apabila kempen jenayah scam ini muncul setiap kali kita buka media sosial, lama-kelamaan kesedaran itu sebati dalam diri masyarakat. Ini sesuatu yang positif,” katanya.
Selain itu, kesedaran melalui drama mendedahkan masyarakat mengenai taktik yang digunakan dalam jenayah tersebut.
Kuat kuasa undang-undang lebih ketat
“DENGAN adanya drama yang bercerita tentang jenayah scam seperti Din Tiger ini, ia secara tak langsung menggalakkan penguatkuasaan undang-undang,” ujar Izzue Islam.
Bagi Izzue, drama boleh mencetuskan perbualan masyarakat dan netizen dalam media sosial, sekali gus isu ini dilihat penting diutarakan.
“Saya yakin kerajaan atau pihak berkuasa pasti sentiasa cakna dan ambil tahu apa yang sedang dihadapi oleh rakyat. Apa lagi, isu scam ini semakin membimbangkan.
“Mungkin boleh berlaku kerjasama antara agensi dalam memerangi jenayah ini. Dengan ini rakyat berani tampil untuk berkongsi maklumat sekali gus ia membawa kepada penguatkuasaan undang-undang,” katanya.
Izzue juga percaya, bukan hanya di peringkat kerajaan malah komuniti tertentu juga mengambil serius hal ini.
“Di peringkat komuniti pula, boleh diwujudkan pasukan petugas khas untuk menyiasat dan memberi hukuman kepada scammer.
“Kita tak boleh harapkan kerajaan sahaja, sebaliknya masyarakat juga harus berganding bahu mengatasi masalah ini. Sama-sama kita bertindak,” tambahnya.
Rezza Shah kagum idea Afdlin
PESERTA program realiti One In A Million (OIAM) musim ketiga, Rezza Shah akui kagum dengan usaha Datuk Afdlin Shauki mengangkat isu jenayah scam.
“Bagi saya, jarang drama yang mengangkat isu serius ini. Selama ini saya asyik dengar ramai mengeluh apabila jadi mangsa scammer. Dalam media sosial banyak kisah ini.
“Drama Din Tiger sedikit sebanyak boleh menyedarkan masyarakat perihal pentingnya bertindak apabila jadi mangsa scammer. Jangan berdiam diri kerana takut.
“Drama ini jelas menunjukkan jenayah scam ini sesuatu yang serius. Bukan perkara remeh,” katanya.
Dalam masa yang sama, Rezza mengingatkan masyarakat agar lebih berwaspada dalam pembelian dalam talian.
“Saya juga sering dengar penipuan dalam jual beli online. Mahu atau tidak, untuk mencegahnya, pengguna sendiri yang kena selidik betul-betul sebelum buat pembelian.
“Jangan terburu-buru hanya kerana terpedaya dengan iklan yang menarik. Siasat betul-betul. Tengok komen pembeli sebelum ini dan bertanya kepada orang lain juga.
“Bukan apa, apabila dah terkena, agak sukar untuk kita dapat wang kembali dan alami kerugian. Duit itu boleh guna untuk perkara lain sepatutnya,” tambahnya. – WILAYAHKU