PROSES mengumpul bahan bukti dan sumber yang diyakini serta boleh disahkan dari sudut perundangan melibatkan organisasi GISBH perlu melalui penelitian yang tinggi.
Demikian ditegaskan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Naim Mokhtar bercakap dalam persoalan mengenai mengapa kerajaan dilihat lewat mengambil tindakan terhadap organisasi tersebut.
Lebih-lebih lagi katanya, bagi menangani sesuatu amalan atau ajaran yang berselindung di sebalik aktiviti lain yang kelihatan benar dan sah di sisi undang- undang.
“Proses ini tentunya tidak sukar sekiranya sesuatu ajaran atau amalan itu jelas dan terang-terangan bercanggah dangan syariat Islam dan amalan tersebut dapat dibuktikan dengan jelas dan kukuh,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat mengenai soalan dibangkitkan Suhaizan Kayat (PH-Pulai) itu.
Mohd Naim berkata, dalam hal tersebut, pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah bertindak mengikut ruang lingkup fungsi dan peranan yang ada dan tidak melakukan sesuatu tugas yang melangkaui fungsi pihak berkuasa lain.
“Namun, kerjasama, khidmat nasihat dan perundingan dengan pihak berkuasa di peringkat Persekutuan dan negeri sentiasa dibuat dari semasa ke semasa bagi memastikan proses berjalan dengan lancar dan sempurna,” katanya.
Terdahulu beliau memberitahu sehingga kini dianggarkan ahli GISBH adalah seramai 10,500 orang dan 9,000 daripadanya dipercayai berada di dalam negara.
Dalam menguruskan kumpulan itu katanya, kerajaan telah menyediakan pelan tindakan pemulihan termasuk tindakan pemulihan ke atas kanak-kanak GISBH yang ditempatkan di pusat penjagaan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan agensi lain berkaitan.
Katanya, selain daripada itu, pelan tindakan pemulihan kepada ahli GISBH yang hadir untuk mengikuti sesi pemulihan secara sukarela juga dilaksanakan dengan kerjasama Majlis Keselamatan Negara (MKN) serta Majlis atau Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri. – WILAYAHKU