Artikel

Diari bermulanya sejarah peribadi

Diari boleh memuatkan perasaan yang mungkin sukar diungkapkan kepada orang lain. - Gambar hiasan
- Diterbit 7 Januari 2025 12:22 PM MYT

Oleh KU SEMAN KU HUSSAIN

SUATU waktu dulu, pada dekad 1970-an hingga 1990-an misalnya, hujung tahun adalah waktu menukarkan diari. Malah ada yang berkat tutup diari lama, buka diari baharu, maknanya lupakan semua yang pernah berlaku.

Kepada banyak orang, diari adalah satu yang amat peribadi sifatnya. Mencuri membaca diari kawan boleh membuatkan kita ‘hilang kawan’. Salah satu sebabnya diari bukan sekadar catatan, tetapi tersimpan pelbagai perasaan yang pernah singgah di jiwa pemiliknya.

Sesetengah orang menjadikan diari sebagai ruang melepaskan perasaan – marah atau gembira. Masa yang sama menjadi teman akrab yang sentiasa menadah segala keluhan dan menyimpannya dengan baik pada setiap helaiannya. Sekalipun adakalanya dipijak atau dilempar, tetapi akhirnya terbukti itulah teman yang sentiasa mengingatkan tentang perkara yang telah berlalu.

Survivor Holocaust yang terselamat daripada kekejaman tentera Nazi yang menawan Eropah pada Perang Dunia Kedua, Anne Frank mencatatkan, “Menulis diari adalah cara melarikan diri dari dunia sebenar yang tidak menyenangkan berlaku di depan mata”. Dia sebenarnya seperti sudah mati, tetapi hanya ajalnya sahaja yang belum tiba.

Saat-saat yang begitu mendera jiwa dan fizikal dicatatkan satu demi satu, dirakamkan dengan ayat-ayat yang polos tetapi penuh berjiwa. Keadaannya ketika itu penuh trauma, hanya keazaman yang memberi kekuatan kepada Anne Frank untuk mencatat. Sekiranya dia tewas, itulah suaranya kepada yang membaca.

Siapapun tidak menyangka, diari yang amat peribadi itu akhirnya ditatap oleh berjuta pembaca selepas dibukukan dengan judul Diary of a Young Girl tahun 1947 dalam bahasa Belanda. Kemudian diterjemah dalam bahasa Inggeris tahun 1952. Diari remaja berusia 16 tahun ketika Holocaust berlaku itu menjadi rakaman sejarah yang penting daripada saksi mata.

Demikian kuasa sebuah diari yang berjasa kepada pemiliknya tatkala berdepan keadaan genting antara hidup dan mati. Catatan dalam diari itu menyatakan peristiwa benar yang dialami sebagai mangsa oleh sekumpulan manusia hilangnya rasa keinsanan.

Memang banyak yang menulis buku dan jurnal tentang Holocaust, tetapi tidak banyak yang datang daripada kalangan yang berada dalam lingkaran masa dan keadaan itu. Berbeza Anne Frank, di mana semua itu dirakam pada halaman diari itu adalah mengalir daripada pengalaman yang dialami.

Sebenarnya tulisan ini bukan bertujuan memperkatakan tentang Anne Frank atau buku yang memuatkan catatan diarinya semasa dalam kepungan tentera Nazi. Sebaliknya tentang keberadaan suatu yang bernama diari kepada manusia suatu masa dulu.

Sekarang pun masih ada yang menggunakan diari untuk mencatatkan tentang pelbagai perkara. Cuma bezanya sudah tidak sebanyak dulu. Semua itu disebabkan diari juga menerima nasib yang sama seperti bahan bercetak lainnya – surat khabar, majalah, kad selamat hari raya dan kad jemputan kahwin.

Sebenarnya diari boleh sahaja memuatkan catatan yang amat berharga, sebagai tempat merakamkan tentang pelbagai peristiwa, pengalaman peribadi, pemikiran dan perasaan yang mungkin sukar diungkapkan kepada orang lain.

Sebagai teman setia, diari mampu menjadi ruang eskapisme saat kita berasa sendirian atau terbeban oleh tekanan hidup. Dengan mengalirkan segala dalam catatan, diari melampiaskan rasa yang sihat dan membantu kita untuk meredakan tekanan.

Melalui halaman-halaman diari, seseorang dapat mengenali diri dengan lebih baik, memahami perubahan yang terjadi dalam hidup dan melihat perkembangan dari semasa ke semasa. Diari juga menjadi saksi pertumbuhan dan perubahan dalam kehidupan seseorang seiring beredarnya waktu.

Daripada catatan yang tergores dalamnya, kita dapat melihat betapa jauhnya telah berjalan, betapa banyak pengalaman yang telah mengubah cara pandang dan pola fikir terhadap dunia. Diari menjadi cermin diri yang tidak pernah menipu akan kebenarannya.

Diari juga memberikan kekuatan pada pemiliknya. Membaca kembali catatan-catatan silam adalah melihat jalur kehidupan daripada cermin pandang belakang untuk memastikan jalan yang cerah di depan.

Kita perlu jujur pada diari supaya yang terakam adalah suatu yang benar menjadi pengingat akan segala hal yang pernah kita lakukan, meskipun mungkin pada saat itu kita merasa lemah atau tidak berdaya.

Rempuhan digital telah membuatkan diari fizikal menjadi semakin terpinggir dan dijangka mengalami kepupusan seperti bahan bertulis yang lain. Malah kepada generasi baharu, menulis diari dianggap suatu yang ketinggalan zaman.

Aplikasi media sosial seperti Facebook dan Instagram membolehkan pengguna menyimpan catatan, gambar dan cerita kehidupan harian mereka secara terus dalam satu platform yang mudah capai. Individu menggunakan platform itu pula boleh berbahagi pengalaman, gambar kenangan dan perasaan mereka.

Sifat yang peribadi pada sebuah diari sudah tidak ada di media sosial. Sekalipun semua catatan di media sosial juga dianggap sebuah diari, tetapi amat terdedah kepada semua orang. Itu bukan lagi sifat diari yang dulunya amat peribadi.

Berbanding diari yang tersimpan secara fizikal dan prinsipnya hanya dapat diakses oleh pemiliknya, sementara catatan-catatan peribadi yang disimpan dalam media sosial boleh diakses oleh pihak lain sekiranya tidak dikendalikan dengan bijak.

Hilangnya suatu yang bersifat peribadi merupakan satu cabaran utama apabila individu menyimpan catatan melalui aplikasi media sosial. Maklumat peribadi yang sensitif atau emosi yang terlalu terbuka kemungkinan terdedah kepada orang lain, termasuk yang tidak diingini.

Hal yang demikian menjadikan tradisi menghadiahkan diari juga semakin berakhir. Malah banyak yang dikatakan diari fizikal itu bukanlah diari yang sebenar, sebaliknya hanya kalendar dan selebihnya halaman kosong untuk dijadikan ruang catatan.

Sebenarnya sama ada diari fizikal itu terus ada atau sebaliknya bukanlah perkara yang besar. Bagaimanapun sikap kita terhadap diari yang menyimpan catatan harian berupa sejarah peribadi adalah sesuatu yang berdepan kehilangan. Siapa lagi yang menyimpan sejarah peribadi kita kalau bukan dilakukan sendiri – salah satu caranya mencatatkan dalam diari.

Setiap orang harus berbangga mempunyai sejarah peribadi, biarlah kecil di mata orang lain tetapi besar bagi diri pemiliknya. Kita menuju pada kehilangan sejarah peribadi yang lebih besar dan hal itu ditunjukkan dengan sikap kita terhadap catatan harian yang tidak rasmi itu. Anne Frank menjadi besar kerana sebuah diari kecil.

SETIAP artikel penulis adalah pendapat peribadi‚ bukan pendirian Wilayahku.

[Iklan]

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas