PELAKON Diana Danielle, 33, menyokong tindakan dilakukan bekas model Zahnita Wilson yang membuat pendedahan mengenai keganasan rumah tangga yang dilalui selama hampir 20 tahun mendirikan rumah tangga.
Menurut ibu kepada dua cahaya mata itu, stigma agar wanita merahsiakan masalah rumah tangga demi menjaga aib pasangan masing-masing harus dihentikan kerana golongan wanita memerlukan tempat untuk mengadu bagi menjaga kesihatan mental.
“Masyarakat yang tak tahu cerita, jangan hanya pandai memberikan motivasi meminta wanita bersabar atau fikirkan anak-anak sebelum sesuatu keputusan diambil.
“Mereka hanya ingin mendapatkan pembelaan dan hendak masalah mereka didengari, sebelum kejadian lebih buruk berlaku termasuklah membawa kepada kehilangan nyawa.
“Tapi masyarakat sering mengingatkan wanita yang berdepan kemelut rumah tangga supaya banyak bersabar dan berdoa, kononnya akan ada sinar bahagia di depan. Tapi kita juga sebenarnya perlu dengarkan luahkan hati mereka,” kata Diana Danielle menerusi audio siar Kata Kita.
Audio siar Kata Kita membincangkan pelbagai topik berkaitan isu semasa. Di mana Diana Danielle bertindak selaku hos bergandingan dengan Nani Roslan.
Diana turut mempersoalkan kenapa wanita dilarang bersuara berkaitan apa saja cerita negatif membabitkan ahli keluarga atau kawan-kawan, sedangkan mereka hanya ingin memperjuangkan nasib dan hak masing-masing.
“Kenapa kena fikirkan antara aib dengan bangkit untuk perjuangkan hak sendiri? Ramai tak faham kerana seakan ada kekeliruan di situ.
“Sepatutnnya apabila ditindas atau dizalimi, tak kiralah oleh siapa pun, kita berhak untuk bersuara. Tapi ramai masih tak faham.
“Masyarakat masih berpandangan apa saja cerita negatif tentang ahli keluarga atau kawan-kawan tak perlu diceritakan sedangkan orang yang jadi mangsa perlukan sokongan.
“Bila adanya sikap sebegini, hasrat wanita itu untuk luahkan masalah mereka akan terpotong di situ kerana masyarakat kita masih ada stigma mahu menjaga aib,” katanya. – WILAYAHKU