Artikel

Di sebalik Masjid Albukhary

MASJID Albukhary yang didirikan pada 2004 dibiayai oleh Yayasan Albukhary. - Gambar hiasan
- Diterbit 23 Ogos 2024 8:24 PM MYT

Oleh KU SEMAN KU HUSSAIN

KEHENINGAN pagi menjadikan azan Subuh dari beberapa masjid utama di Kuala Lumpur sahut-menyahut antara satu dengan lain. Ketika hari baharu belum bermula sepenuhnya, Kuala Lumpur agak hening seketika, tiada deru kereta dan hiruk-pikuk seperti waktu puncak pada siangnya.

Selepas melewati bulatan depan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) kemudian menghala ke Jalan Hang Tuah yang tenang, azan berkumandang dari sebuah masjid putih tidak jauh dari Sekolah Victoria Institution amat syahdu. Azan itu seolah-olah memenuhi ruang angkasa di kawasan sekitarnya.

Malah seperti bersahutan pula dengan azan Masjid Negara yang tidak sampai dua kilometer dari situ. Suasana pada awal pagi di Kuala Lumpur bermula dengan azan Subuh termasuk masjid di Jalan Hang Tuah itu seperti memberitahu bermulanya kehidupan pada hari baharu.

Masjid itu boleh dianggap masih baharu, tidak sampai 20 tahun berdiri di situ. Sekalipun begitu keberadaan di kawasan yang majoriti bukan Melayu itu amat dimanfaat, terutama setiap kali masuk waktu Subuh apabila Kuala Lumpur lena seketika daripada hiruk-pikuknya.

Kepada pengguna Jalan Hang Tuah, masjid putih yang tersergam indah itu adalah antara mercu tanda baharu syiar Islam di sekitar kawasan berkenaan. Setiap kali masuk waktu sembahyang, masjid putih itu menjadi tumpuan sekalipun pada umumnya kawasan berkenaan dihuni oleh bukan Melayu.

Ternyata sebahagian besar jemaah yang mengunjungi masjid itu bukan semua dari kawasan yang berdekatan, tetapi oleh jemaah yang datang dari lingkaran itu. Sebahagian daripadanya adalah mereka yang terpaksa datang bekerja lebih awal untuk mengelak kesesakan di Kuala Lumpur yang amat menyeksakan.

Itulah Masjid Albukhary yang didirikan pada 2004 dengan menelan belanja sebanyak RM12 juta dan dibiayai oleh Yayasan Albukhary. Yayasan Albukhary ditubuhkan oleh jutawan Melayu terulung, Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary yang memberi tumpuan pada pembangunan pendidikan, agama dan sosial.

Mengambil masa pembinaan selama dua tahun, Masjid Albukhary mula digunakan pada 2006 dan dengan itu bertambahlah sebuah lagi masjid untuk memenuhi keperluan masyarakat Islam sekali gus mercu tanda syiar Islam di Kuala Lumpur.

Sekalipun pada mulanya ada tertanya-tanya tentang langkah membina sebuah masjid besar di kawasan majoriti bukan Melayu, akan tetapi selepas berdirinya Masjid Albukhary, sambutan yang diberikan oleh masyarakat Islam sangat luar biasa. Pada setiap waktu sembahyang misalnya, kedatangan jemaahnya amat memberangsangkan.

Semua itu membuktikan perancangan membina Masjid Albukhary adalah sangat tepat dan memenuhi keperluan masyarakat di sekitar. Amal yang dilakukan oleh Yayasan Albukhary dalam memberi kemudahan kepada masyarakat Islam di kawasan berdekatan dihargai. Hal itu boleh dilihat daripada iltizam jemaah menghadiri setiap kuliah ilmu yang dianjurkan secara berkala di masjid itu.

Dilengkapi dengan kemudahan dua dewan sembahyang, atas dan bawah yang boleh memuatkan sebanyak 1,600 jemaah pada satu-satu masa. Bagaimanapun ruang itu tidak dapat menampung jemaah sembahyang Jumaat yang secara puratanya 3,000 orang. Disebabkan itu ada yang terpaksa bersembahyang di luar masjid pada setiap Jumaat.

SYIAR ISLAM

Masjid Albukhary ternyata memenuhi keperluan dalam kalangan mereka yang bekerja atau berurusan di kawasan komersial di segi tiga emas meliputi Bukit Bintang dan Jalan Imbi. Biarpun terletak di tengah-tengah kawasan yang majoriti bukan Islam, Masjid Albukhary diperlukan oleh masyarakat di luar lingkaran Jalan Hang Tuah.

Pada 2007 saya dan wartawan Amran Ahmad daripada Mingguan Malaysia pernah membuat wawancara eksklusif dengan Syed Mokhtar di Muzium Kesenian Islam. Antara soalan yang saya tanyakan pada wawancara itu adalah mengenai Masjid Albukhary yang baru setahun dibuka ketika itu.

Syed Mokhtar memberitahu, pihak jawatankuasa surau di tapak masjid sekarang meminta bantuan untuk menaik taraf surau berkenaan. Bagaimanapun beliau mencadangkan supaya didirikan sebuah masjid baharu yang biayanya ditanggung oleh Yayasan Albukhary.

“Depa mai minta kita bantu serba sikit untuk naik taraf surau tu. Saya kata tok sah nak naik taraf surau tu, lebih baik kita buat masjid baru. Saya kata, kita boleh la bantu serba sikit untuk buat masjid yang lebih selesa,” beritahu Syed Mokthar apabila ditanya mengenai cetusan awal hingga berdirinya Masjid Albukhary di Jalan Hang Tuah.

Saya masih ingat antara yang ada semasa wawancara eksklusif yang dibuat pukul 11.30 malam di Muzium Kesenian Islam itu adalah mantan Ketua Pegawai Eksekutif Pelabuhan Tanjung Pelepas, Datuk Mohd Sidik Shaik Osman dan Ketua Jurugambar Utusan Melayu, Syed Agil Syed Jaafar.

Seni bina juga menjadi salah satu tarikan pada Masjid Albukhary, misalnya dua menaranya meminjam ciri-ciri seni bina yang terdapat di Masjid Nabawi. Manakala di luar kubah utamanya disalut dengan seramik yang diimport khas dari Itali. Seni lakar di bahagian dalam kubah pula bercirikan seni ukir dari Asia Barat.

Memang benar, berdirinya sesebuah masjid itu adalah untuk menyebarkan syiar Islam kepada masyarakat di sekeliling kawasan berkenaan. Begitu juga dengan Masjid Albukhary yang lingkaran jemaahnya melangkau jauh hingga ke kawasan segi tiga emas yang padat sebagai pusat komersial di Kuala Lumpur.

Daripada sudut yang lain, berdirinya Masjid Albukhary di tapak sebuah surau yang sudah uzur adalah satu kesinambungan pengembangan ilmu dan Islam. Surau Babul Jannah itu sebenarnya telah dibina dan digunakan sejak 1860 di atas tapak yang dianugerahkan oleh Sultan Selangor, Sultan Abdul Samad. Saya pernah melihat sendiri keadaan surau itu ketika melalui Jalan Hang Tuah dan sememangnya perlu dibaiki supaya memberi keselesaan kepada jemaah.

Tetapi siapa menyangka selepas 144 tahun Sultan Selangor mengurniakan sebidang tanah untuk didirikan Surau Babul Jannah, akhirnya pada 2004 bermula pula projek mendirikan sebuah masjid yang besar dan indah atas tapak berkenaan. Surau itu sekalipun uzur tetapi sudah memberi khidmat yang besar kepada umat Islam di kawasan berkenaan.

Maka berdirinya Masjid Albukhary di tapak surau yang banyak berjasa adalah satu kelangsungan dalam mengembangkan syiar Islam sejak 1860. Pada masa yang sama memberi kemudahan kepada masyarakat Islam mengerjakan ibadat adalah usaha mulia.

Kemuliaan itu berterusan, daripada sikap pemurah dan sangat mengambil endah tentang keperluan umat Islam oleh Sultan Selangor diteruskan oleh Yayasan Albukhary. Daripada sudut masyarakat pula, mereka amat menghargai dan hal itu dibuktikan dengan kesungguhan dalam mengimarahkan Masjid Albukhary.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas