MESKIPUN baru menginjak usia 16 tahun namun Dhuha Zulfikry dilihat mempunyai potensi sebagai antara perenang masa hadapan negara.
Ia berikutan kejayaan atlet Wilayah Persekutuan itu dalam merangkul enam pingat emas menerusi acara 200 meter (m) gaya bebas dengan catatan masa 1:50.03 saat (s), 1,500m gaya bebas (15:51.53s), 4x100m gaya bebas berganti-ganti (3:25.52s), 800m gaya bebas lelaki, 400m gaya bebas (3:55.59s) dan 100m gaya bebas.
Dhuha juga berjaya memecahkan empat rekod SUKMA sepanjang temasya berlangsung dan menyaksikan dia muncul sebagai antara nama untuk dinobatkan sebagai atlet terbaik pada kali ini.
Berkongsi dengan Wilayahku, Dhuha berkata pada awal temasya dia menyasarkan sebanyak tujuh pingat emas namun gagal menerusi acara 4x200m gaya bebas lelaki.
“Saya gagal untuk catat rekod peribadi terbaik namun saya tetap gembira dengan pencapaian enam pingat emas dan dua perak ini. Ia sangat luar biasa memandangkan pada temasya lalu saya hanya meraih satu pingat sahaja dan kali ini saya dah buat yang terbaik serta dapat tebus semula kekecewaan sebelum ini.
“Untuk pecahan rekod saya memang sasarkan sekurang-kurangnya empat rekod untuk dipecahkan dan saya berjaya lakukannya kali ini. Ia menakjubkan dan segala persiapan yang dilakukan sebelum ini terasa amat berbaloi,” katanya kepada Wilayahku.
Dhuha berkata antara acara yang memberi saingan sengit adalah menerusi 100m gaya bebas di mana wakil Selangor memberi tentangan hebat.
Tambahnya momentum cemerlang ini akan diteruskan dengan penglibatannya dalam kejohanan antarabangsa yang dijangka akan diadakan pada hujung tahun ini.
“Saya mungkin akan sertai Sukan Sea di Bangkok, Thailand namun semuanya masih belum ada kata putus. Apa pun latihan dan perjalanan saya tidak akan terhenti di sini tambahan pula saya tidak mengalami sebarang kecederaan jadi sesi latihan akan diteruskan seperti biasa untuk mengekalkan momentum,” ujarnya.
Sementara itu, rakan sepasukannya, Bryan Leong Xin Ren, turut meneruskan pencapaian apabila memecah rekod dalam acara 100m kupu-kupu lelaki, dengan memperbaharui rekod SUKMA 53.22s untuk meraih emas, memadam catatan 54.80s dilakukan Chan Jie dari Selangor pada 2016.
Secara keseluruhan kontinjen Wilayah Persekutuan mengekalkan penguasaan dalam disiplin renang dengan meraih 16 pingat emas, lapan perak dan tujuh gangsa diikuti Selangor (13-19-7) dan Sarawak (9-1-7). -WILAYAHKU