Berita

Desakan supaya Menteri Agama, Mufti Wilayah letak jawatan bukan amalan sihat, profesional

- Diterbit 1 November 2024 11:41 AM MYT

DESAKAN supaya Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan Mufti Wilayah Persekutuan meletak jawatan susulan pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Mufti Wilayah Persekutuan 2024 bukanlah suatu amalan yang sihat dan profesional.

Presiden Persatuan Pegawai Syariah Malaysia (PPSM), Abu Suffian Abu Yaziz berkata, secara faktanya RUU tersebut dilakukan berdasarkan lunas undang-undang sedia ada seperti diperuntukkan dalam Jadual Kesembilan Senarai Negeri Perlembagaan Persekutuan.

“Sebagai sosok yang bertanggungjawab dalam hal ehwal pentadbiran Islam, kehakiman, perundangan syariah, pengurusan haji, umrah dan lain-lain, desakan sedemikian bukanlah suatu amalan yang sihat dan profesional dalam pengurusan dan kepemimpinan organisasi, melainkan ia melibatkan isu pelanggaran tatakelola atau terbukti tidak kompeten.

“PPSM menolak sebarang desakan oleh mana-mana pihak supaya Menteri Agama dan Mufti Wilayah Persekutuan meletak jawatan dalam melaksanakan tugasnya disebabkan perbezaan pendekatan ijtihad dan khilaf pandangan terhadap segelintir pihak dalam memuktamadkan isu ini,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Abu Suffian berkata, sewajarnya perbezaan tersebut menjadi adab yang perlu disantuni lebih-lebih lagi dalam merapatkan jurang perbezaan, kecelaruan pemikiran, fahaman dan iktikad di kalangan umat Islam mutakhir ini.

Justeru katanya, PPSM menggesa mana-mana pihak agar menghormati langkah kerajaan bagi menggubal RUU tersebut dalam usaha mengangkat martabat dan kedudukan institusi mufti sejajar dengan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan dan akta yang berkuat kuasa di Wilayah-Wilayah Persekutuan.

“PPSM menasihati semua pihak segera menghentikan tindakan menghasut dan menanam kebencian umat Islam terhadap kedudukan Menteri Agama dan Mufti Wilayah Persekutuan yang bertanggungjawab dan jelas sedang melaksanakan gagasan Pelan Transformasi al-Falah dalam pentadbiran Islam Syariah, pentadbiran hal ehwal Islam dan lain-lain.

“Kembalikan semula sifat tasamuh dan adab yang menjadi teras utama dalam membangunkan sebuah masyarakat madani serta ketepikan andaian yang bersifat dangkal dan sempit,” katanya.

Beliau menambah, PPSM mendukung prinsip kesopanan dan kesusilaan dalam menyantuni adabul ikhtilaf seperti mana diamalkan oleh Salafus Soleh dalam meletakkan kedudukan syariat Islam dan menterjemahkan amal Islami yang mulia dan berkeperibadian tinggi.

Terdahulu, seorang pensyarah di sebuah universiti menyarankan agar Datuk Mohd Na’im Mokhtar (Menteri Agama) digantikan dengan tokoh lain bagi menangani isu kemelut RUU Mufti Wilayah Persekutuan 2024 dengan lebih baik.

Malah menurutnya, kerajaan juga perlu memberi pertimbangan kepada cadangan agar seorang tokoh yang ‘lebih baik’ dipilih menduduki jawatan Mufti Wilayah Persekutuan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas