SETIAP tahun pada tanggal 10 Zulhijah, umat Islam akan meraikan perayaan terbesar dalam kalendar umat Islam iaitu Hari Raya Aidiladha yang juga dikenali sebagai Hari Raya Haji atau Hari Raya Korban.
Perayaan terebut sinonim dengan ibadah korban di mana ketika itu, umat Islam yang berkemampuan akan mengambil kesempatan untuk melakukan ibadah korban sebagai tanda kesyukuran atas rezeki yang Allah SWT kurniakan selain mengingati peristiwa pengorbanan Nabi Ibrahim AS dan anaknya Nabi Ismail AS.
Seperti yang kita sedia maklum, bukan semua mampu melakukan ibadah tersebut kerana ada insan yang hidup susah dan hanya menanti agihan daging korban. Fakir miskin dan memerlukan inilah golongan yang paling utama untuk menerima.
Di sebalik itu, insan yang serba kekurangan dan bergelumang dengan kesukaran hidup ini kadang-kadang terpaksa menjual daging korban yang diterima untuk sebarang keperluan lain yang mendesak.
Namun terdapat persoalan yang bermain di fikiran masyarakat, adakah daging yang diperoleh boleh dijual serta apakah perspektif Islam tentang keadaan tersebut.
Berkongsi pandangan, Pengerusi Persatuan Ulama Malaysia cawangan Wilayah Persekutuan, Datuk Mohamad Abdullah berkata menjual daging korban adalah haram namun terdapat beberapa situasi yang dibenarkan.
“Hakikat dan tujuan korban ialah untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT melalui ibadah korban dengan mengorbankan sesuatu untuk dirasai oleh orang lain bukan mengorbankan sesuatu untuk kepentingan diri sendiri.
“Justeru itu, hukum menjual daging korban yang diperoleh adalah haram, malah lagi tidak sah peserta korban menjual daging tersebut.
“Walau bagaimanapun, fakir miskin yang menerima daging korban boleh mentasarruf daging korban itu dengan menjualkannya. Jika penerima daging korban golongan yang kaya maka dilarang untuk menjual kembali. Manakala jika penerima daripada golongan miskin perbuatan tersebut dibenarkan,” tegasnya.
Mengulas lanjut, ibadah korban merupakan satu ibadah (Ta’abbudi) yang amat mulia di sisi Allah SWT. Di dalamnya terkandung pelbagai hikmah. Sejarah bermula pada zaman Nabi Ibrahim AS ketika peristiwa penyembelihan anaknya Nabi Ismail AS yang telah digantikan dengan seekor kambing dengan kuasa Allah SWT.
Mengikut istilah fiqh, qurban (Al-Udhiyah) bermaksud menyembelih haiwan tertentu sama ada unta, lembu atau kambing dengan niat mendekatkan diri kepada Allah SWT, pada waktu tertentu iaitu bermula setelah selesainya Solat Hari Raya Aidiladha (10 Zulhijah) dan pada hari-hari Tasyriq (11,12 & 13 Zulhijah).
Perintah berkorban telah disyariatkan oleh Allah kepada kita pada tahun ke-2 Hijrah bersamaan dengan perintah solat sunat Aidiladha dan zakat.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Maka solatlah kamu untuk Tuhanmu dan menyembelihlah.” – Surah Al-Kautsar, ayat 2.
Menurut pendapat yang masyhur, maksud solat pada ayat itu ialah solat Aidiladha dan yang dimaksudkan dengan menyembelih ialah berkorban.
Ibnu Jarir mentafsirkan ayat tersebut sebagai berikut:
“Jadikanlah solatmu ikhlas hanya untuk Allah sahaja dengan sama sekali tidak mengharapkan kepada selain daripada-Nya. Demikian juga korban yang kamu tunaikan, niatkanlah hanya untuk Allah, tidak untuk berhala, sebagai kesyukuran terhadap apa yang dianugerahkan Allah kepadamu yang tidak terhingga banyaknya.”
Mohamad berkata hukum melakukan ibadah korban adalah sunnah muakkadah, melainkan menjadi wajib atas dua sebab.
“Pertama, apabila seseorang mengisyaratkan binatang kepunyaannya yang boleh dijadikan korban sambil berkata: Inilah korbanku atau aku akan korbankan kambing ini. Maka dia wajib melakukannya.
“Kedua, apabila seseorang berazam hendak melakukan korban untuk taqarrub kepada Allah dengan berkata: Aku mewajibkan diriku berkorban kerana Allah. Lantas menjadi wajib kepadanya melakukan korban dengan nazar,” ujar beliau ketika dihubungi.
Tambahnya terdapat lima syarat bagi melaksanakan ibadah korban.
“Yang pertama ialah mesti beragama Islam; kedua, baligh; ketiga, berakal; keempat, berkemampuan; kelima, merdeka (bukan golongan hamba). Amat penting dalam mematuhi syarat-syarat tersebut dalam melaksanakan ibadah korban,” jelasnya. – WILAYAHKU