Oleh SYUQQREE DAIN
Video oleh HASIF HALIMI
LEBIH 500 model kenderaan dan motosikal daripada 200 jenama berjaya menggegarkan ruang pameran Malaysia Autoshow 2024 (MAS 2024) yang berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS).
Penganjuran yang diiktiraf sebagai Autoshow Antarabangsa Terbesar di Malaysia oleh Malaysia Book Of Records (MBOR) tersebut menghimpunkan model kereta dan motosikal terkini serta akan datang.
Antara yang menjadi tumpuan pengunjung adalah jentera lumba model PROTON S70 R3 yang dilancarkan oleh jenama nasional, PROTON dan dibangunkan oleh R3 Motorsports selain kenderaan EV futuristik Tesla Cybertruck yang dihasilkan oleh syarikat Tesla Inc di mana panel badannya diperbuat daripada besi tahan karat, keras dan kalis peluru dikenali sebagai exoskeleton.
Pameran berprestij di ruangan seluas 50,000 meter persegi itu turut diserikan dengan aktiviti laluan pandu uji, trek pacuan empat roda, van perkhemahan dan sebagainya.
Terdahulu, MAS 2024 yang dianjurkan Insititut Automotif, Robotik dan loT Malaysia (MARii) dengan kerjasama Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia berjaya menghimpunkan peneraju automotif antarabangsa dari pelbagai negara antaranya Amerika Syarikat, Eropah, China dan Jepun.
Dirasmikan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, acara yang berlangsung pada 21 hingga 26 Mei 2024 itu seiring dengan matlamat kerajaan dalam menjadikan Malaysia sebagai salah sebuah negara yang maju dari segi perindustrian dan pembuatan automotif bagi mempromosikan Kenderaan Generasi Seterusnya (NxGV).
Malah penekanan juga akan diberikan kepada pembangunan dan penciptaan kenderaan elektrik (EV) yang cekap tenaga, mesra alam serta lebih mampu milik di pasaran. – WILAYAHKU
Lensa: