DV Group Berhad melancarkan cawangan ke dua klinik Pakar Pergigian Kanak-Kanak Dental Valet baru-baru ini selepas kejayaan cawangan pertama di Bandar Baru Bangi yang beroperasi sejak tahun 2016.
Syarikat pemegang pelaburan yang diasaskan oleh Dr. Nazatul Sabariah Ahmad, 41, turut mengendalikan klinik pergigian dengan menyasarkan pesakit di kalangan kanak-kanak sejak bayi hingga remaja berusia 17 tahun termasuk kanak-kanak istimewa – autism, down’s syndrome dan cerebral palsy.
Pakar Perunding Pergigian Kanak-Kanak ini juga merupakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) DV Group Berhad untuk rangkaian Klinik Pergigian Dental Valet dan anak-anak syarikat ditemui selepas majlis perasmian di Seksyen 13, Shah Alam, Selangor.

Majlis dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Anggerik, Mohd Najwan Halimi. Turut hadir, kakitangan klinik, ahli keluarga dan rakan-rakan yang memberikan sokongan.
Menurut Dr. Nazatul, sebagai tarikan utama dan mewujudkan kelainan klinik, beliau mengubah suai persekitaran dengan dekorasi ceria dan berwarna-warni serta mengelak gambar-gambar gigi rongak dan rosak supaya pesakit berasa selesa.
“Dental Valet mempunyai 12 doktor pakar dalam pelbagai bidang dan kami gunakan pendekatan memujuk, memberi hadiah dan penghargaan kepada kanak-kanak untuk meredakan kesakitan.
“Melihat kepada sambutan menggalakkan sehingga suku ke-2 tahun hadapan, satu lagi cawangan klinik akan dibuka di Damansara.
“Malah kami merancang untuk melengkapkan fasiliti di Dental Valet Shah Alam dengan menambah kerusi pergigian dari enam buah kepada sembilan termasuk fasiliti x-ray dan bilik pesakit berkeperluan khas.
“Selain itu kami sedang membangunkan akademi Dental Valet dan mula mengambil pelajar mulai bulan Januari 2023.
“Akademi ini bertujuan memberi latihan kepada doktor gigi am yang mempunyai minat di dalam bidang pergigian kanak-kanak dan juga memberi latihan kepada pembantu pembedahan pergigian. Selain itu asas mengendalikan perniagaan klinik pergigian juga akan menjadi salah satu silibus di akademi.
“Sebagai doktor gigi hampir setiap hari saya berada di dua klinik namun turut melengkapkan diri dengan kelas perniagaan untuk menguasai selok-belok empayar perniagaaan di samping mempunyai sistem fail dan Garis Panduan & Operasi Standard (SOP) yang diperlukan untuk jangka masa panjang.
“Alasan utama kerana dalam dalam tempoh 10 tahun, kami menyasarkan sebanyak 70 cawangan klinik dibangunkan di seluruh negara.
“Jika ada yang mahu berkolaborasi mereka dialu-alukan untuk membangunkan klinik gigi dengan modal antara RM800,000 hingga RM1.5 juta termasuk peralatan rawatan yang diperlukan,” katanya.

Beliau berkelulusan doktor pergigian dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) tahun 2004 dan berkhidmat di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selama tiga tahun sebelum menyertai Fakulti Pergigian Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) pada 2007 sebagai pensyarah pelatih.
Kemudian menyambung pengajian dalam bidang Paediatric Dentistry di Eastman Dental Institute, University College London pada 2008 dan memperoleh Doctorate in Dentistry, Pediatric Dentistry tahun 2012.
Dr. Nazatul pulang berkhidmat di USIM sehingga tahun 2018 sebelum menyertai sebuah hospital pakar wanita dan kanak-kanak dan mengasaskan klinik pergigian di sana.
Buat masa ini, Dental Valet berada di Bangi Sentral, Bandar Baru dan di Seksyen 13, Shah Alam Selangor dengan jumlah kakitangan melebihi 30 orang di unit klinikal dan unit pengurusan pejabat.
“DV Group Berhad menyasarkan untuk disenaraikan di Bursa Malaysia dalam masa lima tahun dengan nilaian RM300juta. Pengumpulan dana yang pertama telah dijalankan pada April 2022 yang lepas.
“Hasil daripada pengumpulan tersebut kami telah menyiapkan Klinik Pakar Pergigian Pediatrik Dental Valet Shah Alam di Seksyen 13, Shah Alam, Selangor.
“Kini kami di fasa pengumpulan dana pusingan kedua (co-founder 2) yang dijangka berakhir pada Jun 2023. DV Group Berhad ingin menjemput pelabur-pelabur yang berminat untuk menjayakan misi ke bursa.
“Pulangan pelaburan dijangkakan sebanyak enam belas kali selepas lima tahun dengan pembayaran dividen sehingga 70 peratus dari keuntungan selepas penolakan cukai,” ujarnya.
Hubungi talian : 012 6781780/ Fb : Dental Valet HQ/ IG: dentalvalet.hq/ www.dentalvalet.com. – WILAYAHKU