Oleh SABRINA SABRE & DIANA AMIR
KEMUDAHAN untuk golongan orang kurang upaya (OKU) di negara ini dilihat masih belum mencukupi dan perlu diperbaiki untuk mencapai standard yang ditetapkan.
Bagi Presiden Pertubuhan Kebangsaan Orang Kerdil Malaysia (PKOKM), Jasmie Shafie yang juga penghidap pseudoachondroplasia iaitu gangguan pertumbuhan tulang atau kerdil sejak dilahirkan menjelaskan masalah utama yang dihadapi mereka pada ketika ini adalah kemudahan untuk golongan OKU masih lemah.
“Saya lihat di negara ini masih kurang kesedaran malahan keadaan sekeliling juga tidak cukup membantu dalam menyediakan kemudahan buat golongan OKU. Saya beri contoh, untuk kami yang OKU kerdil ini ia agak sukar apabila tidak ada kenderaan yang sesuai serta laluan khas kenderaan yang dapat kami gunakan.
“Sehubungan itu, ada yang terpaksa menolak peluang pekerjaan yang diberikan kerana jauh dari rumah. Mereka menolak pekerjaan tersebut kerana memikirkan isu bagaimana nak bergerak untuk pergi dan balik kerja.
“Bukan semua boleh dapat lesen kenderaan khas, kalau ada lesen sekalipun tiada kereta bersesuaian untuk kami pandu. Kalau naik kenderaan awam, bukan semua tempat ada kesalinghubungan,” ujarnya.
Jasmie yang berasal dari Perlis juga berharap agar kerajaan mengambil berat tentang isu tersebut kerana beliau tidak mahu masa depan golongan OKU kerdil terbatas hanya disebabkan perkara tersebut.
“Kita lihat sahaja negara maju seperti di Eropah, mereka mempunyai fasiliti untuk OKU yang sesuai seperti pengangkutan, laluan khas, kemudahan-kemudahan lain malah mempunyai laluan khas untuk kenderaan OKU.
“Mungkin ada yang akan mencadangkan untuk menggunakan kenderaan awam, teksi dan e-hailing tetapi bukan semua mampu. Dengan keadaan kami, nak membeli dan memandu kenderaan pun agak mustahil juga,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Jasmie berkata kesukaran untuk mendapatkan pekerjaan bagi OKU kerdil bukanlah isu yang baru dibangkitkan.
“Kesedaran mengenai keperluan untuk OKU berdikari dan bekerja itu ada tetapi ia tidak dilakukan secara menyeluruh. Hal ini kerana golongan kerdil seperti kami memerlukan ruang dan infrastruktur yang sesuai dengan ketinggian kami.
“Saya tidak nafikan peluang pekerjaan itu banyak dan ada OKU kerdil yang mendapat ruang namun bukan semua orang bernasib baik dan ada dalam kalangan orang kerdil ini masih bergelut mencari dan memilih pekerjaan yang sesuai,” ujar beliau. – WILAYAHKU