Berita

Demi kelancaran operasi, Kompleks Penguat Kuasa PPj bakal dibina

- Diterbit 1 Disember 2023 12:50 AM MYT

SEBUAH kompleks Penguat Kuasa Perbadanan Putrajaya (PPj), bakal dibangunkan di Presint 9 bagi menjamin keselesaan petugas barisan hadapan kepada PPj.

Menurut Presiden PPj, Datuk TPr Fadlun Mak Ujud, ia akan dilengkapi fasiliti seperti padang kawad, bilik latihan dan lain-lain keperluan bagi memastikan kelancaran operasi dan keperluan semasa.

“Selain itu, kita akan menambah baik pasukan penguat kuasa daripada segi kemahiran dan teknologi di era digital. Kita juga mengharapkan penguat kuasa PPj untuk meneroka penggunaan teknologi pada masa kini.

FADLUN

“Ia sebagai alat menyokong tugas-tugas penguatkuasaan bagi memastikan keberkesanan tindakan dan membantu dalam memudahkan serta mempercepatkan pelaksanaan tugasan.

“Bahagian Penguat Kuasa PPj juga diseru untuk terus merancang serta melaksanakan aktiviti dan program sama ada di peringkat dalaman mahupun luaran yang menjurus kepada meningkatkan kecemerlangan dan mutu perkhidmatan di samping mempertahankan imej penguat kuasa dan PPj.

“Adalah menjadi harapan agar semua pegawai dan anggota penguat kuasa menyelami dan memahami bahawa setiap tindakan yang diambil adalah demi kesejahteraan masyarakat Putrajaya dan semua pemegang taruh melalui penguatkuasaan yang tegas dan berhemah,” ujar beliau semasa Majlis Perbarisan Sempena Sambutan Hari Penguat Kuasa PPj 2023 Dan Sambutan Jubli Perak Penguat Kuasa PPj baru-baru ini.

Menurut Fadlun, seramai 60 anggota penguat kuasa PPj diraikan dengan penuh protokol dan istiadat di Dataran Putrajaya, Presint 3, sempena sambutan tersebut.

“Ia merupakan penghargaan kepada anggota penguat kuasa yang sentiasa bertindak secara tegas dan berhemah dalam memastikan tindakan penguatkuasaan diambil secara saksama serta sah di sisi undang-undang.

“Di samping itu, ia juga bagi memperingati sejarah penubuhan Pasukan Penguat Kuasa Perbadanan Putrajaya pada 17 Ogos 1998 yang pada awalnya hanya terdiri daripada enam anggota dan kini mempunyai lebih 150 orang selaras dengan pertambahan fungsi dan keperluan tugasan yang semakin mencabar.

“Semoga ia dapat meningkatkan motivasi mereka dan menjadi sumber inspirasi kepada semua warga penguat kuasa PPj untuk berkhidmat dengan penuh amanah,” ujar beliau.

Fadlun juga memaklumkan sudah tiba masanya keperluan elaun penguat kuasa PPj dikaji semula seperti penguat kuasa pihak berkuasa tempatan lain terutamanya dengan bilangan penduduk dan pengunjung ke Putrajaya yang kian meningkat serta kewujudan kawasan-kawasan komersial dan residensi baharu.

“Pihak pengurusan akan sentiasa cakna tentang keperluan pasukan penguat kuasa. Justeru, pihak Pengurusan Sumber Manusia juga sedang menguruskan proses pertukaran khidmat lantikan MyStep kepada penjawatan Contract Of Service (COS) bagi memperkasakan pasukan ini dan meringankan bebanan tugas penguatkuasaan apabila kapasiti penduduk semakin bertambah,” ujarnya pihak pengurusan juga sentiasa bersikap terbuka dan bersedia menerima sebarang cadangan dan pendapat daripada semua anggota.

Dalam masa yang sama, pihak penguat kuasa PPj bersedia meningkatkan tindakan penguatkuasaan dalam menggalas amanah dan tanggungjawab demi kesejahteraan masyarakat Putrajaya dan semua pemegang taruh.

“Ia melalui penguatkuasaan yang tegas dan berhemah selain penekanan kepada nilai integriti dan tatakelola yang baik dalam pentadbiran organisasi. Mereka perlu sentiasa meningkatkan komitmen dan ketelusan dalam melaksanakan tugas yang diberikan.

“Penguat kuasa memainkan peranan cukup penting bagi memastikan keselamatan dan keamanan negara terjaga dan terjamin. Untuk itu, mereka harus memberikan perkhidmatan terbaik dan berkualiti supaya menjadi contoh teladan kepada pihak lain,” ujar beliau pihak Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APMM) juga telah bersetuju untuk melatih anggota penguat kuasa PPj bagi merealisasikan penubuhan Unit Tambo Penguat Kuasa PPj pada suatu hari nanti.

Terdahulu, majlis tersebut turut menyaksikan seorang pegawai penguat kuasa menerima Anugerah Khas Jubli Perak Penguat Kuasa Perbadanan Putrajaya manakala dua anggota dianugerahkan Pangkat Inspektor dan Pingat Perkhidmatan 25 Tahun. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas