PENGGUNAAN media sosial secara optimum dilihat telah mempengaruhi budaya makanan dengan ketara selain mencetuskan trend di mana individu berlumba-lumba untuk menjadi yang pertama mencuba hidangan baharu dan tular.
Fenomena ini telah mencetuskan kebimbangan mengenai penghakisan sensitiviti terhadap pemakanan, terutamanya dalam masyarakat Islam yang amat mementingkan status halal sesuatu sajian.
Menurut pendakwah, Ahmad Ziyaadi Al-Hatim Mahpuz berkata setiap generasi membawa nilai dan gaya hidup yang unik dan pada masa kini kebergantungan terhadap teknologi maklumat khususnya melalui peranti dan media sosial telah mempengaruhi urusan harian termasuklah pemilihan makanan.
“Pendedahan kepada makanan yang mengikuti trend semasa boleh mengakibatkan generasi muda Islam terpengaruh dengan cita rasa dan budaya pemakanan asing, sehingga mengabaikan kepentingan prinsip halal dan haram dalam pemakanan.
“Fenomena ini amat membimbangkan apabila pada kebiasaannya, makanan yang tidak memenuhi piawaian halalan toyyiban semakin diutamakan berbanding pilihan yang disahkan halal. Sikap mengambil mudah terhadap aspek halalan toyyiban ini bukan sahaja menjejaskan kesejahteraan fizikal, malah membawa implikasi besar kepada pembangunan spiritual individu Muslim,” katanya kepada Wilayahku.
Menurut Ahmad Ziyaadi, pengambilan makanan yang syubhah atau haram boleh merosakkan pembentukan akhlak dan jiwa serta mengundang kesan negatif dalam kehidupan seharian.
“Adalah menjadi tanggungjawab setiap individu Muslim, khususnya generasi muda untuk memastikan budaya makanan dan pemakanan mereka tidak dicemari oleh sumber yang haram, demi menjaga kesejahteraan jasmani dan rohani,” katanya.
Beliau yang juga Penolong Pengarah, Bahagian Pengurusan Halal, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) berkata terdapat beberapa faktor utama yang menyebabkan sesetengah orang Islam masa kini dilihat mengabaikan status halal makanan dan minuman demi mengejar populariti.
“Pertama, pengaruh media sosial dan budaya viral memainkan peranan besar. Platform-platform ini sering menonjolkan makanan dan minuman yang sedang popular tanpa mengambil kira status halalnya. Masyarakat, terutamanya golongan muda, lebih terdorong untuk mencuba makanan tersebut bagi tujuan dokumentasi dalam media sosial, seperti mengambil gambar atau video untuk dikongsikan. Aktiviti ini mencipta satu bentuk tekanan sosial yang menjadikan pengguna lebih fokus kepada trend semasa berbanding kepatuhan kepada prinsip halal.
“Selain itu, masalah kurangnya literasi dan kesedaran halal juga dilihat menjadi punca. Walaupun JAKIM dan Jabatan Agama Islam Negeri-Negeri dan Majlis Agama Islam Negeri-Negeri (JAIN/MAIN) telah berusaha mempergiatkan kempen kesedaran halal, masih terdapat segelintir pengguna yang kurang memahami betapa pentingnya memeriksa status halal sesuatu produk,” katanya.
Jelas beliau, kemudahan akses kepada produk makanan global juga menyumbang kepada masalah ini termasuklah lambakan produk import yang semakin mudah diperolehi melalui e-dagang dan pasaran antarabangsa, pengguna Muslim sering terdedah kepada produk yang tidak dipersijilkan halal sama ada Halal Malaysia mahupun Badan Pensijilan Halal Luar Negara (FHCB) yang diiktiraf oleh JAKIM.
“Sikap mengambil mudah terhadap halal dan haram dalam kalangan sesetengah masyarakat juga boleh dikaitkan dengan kurangnya pemahaman tentang kesan spiritual dan fizikal pengambilan makanan yang tidak sah status halalnya,” katanya.
Menurut Ahmad Ziyaadi, pendidikan agama dan peranan pemimpin masyarakat adalah sangat penting dalam memperkukuh kesedaran serta kepentingan pengambilan makanan halal, khususnya dalam kalangan umat Islam.
“Pemimpin masyarakat seperti imam, ustaz dan tokoh agama juga mempunyai tanggungjawab besar dalam memberi panduan dan kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan memilih makanan halal,” ujar beliau.
Tambahnya, JAKIM sendiri menyediakan beberapa platform seperti Portal Halal Malaysia dan aplikasi Verify Halal yang membantu memudahkan para pengguna melakukan semakan status halal sesuatu produk.
Kewujudan trend pengendali restoran yang tidak memiliki sijil halal, namun meletakkan papan tanda ‘mesra Muslim’ bagi menarik minat orang Islam untuk membeli merupakan satu langkah yang tidak tepat dan boleh mengelirukan.
“Penggunaan signage tersebut bukan sahaja tidak memenuhi standard pengesahan halal Malaysia, malah ia juga tidak menjamin bahawa produk atau premis tersebut mematuhi piawaian halalan toyyiban yang merangkumi aspek kesucian, kebersihan, kualiti dan keselamatan makanan dari perspektif syariah.
“Proses mendapatkan sijil halal melalui JAKIM mungkin dianggap rumit oleh sesetengah pihak kerana ia melibatkan pematuhan kepada prosedur yang teliti dan komprehensif. Namun, proses ini adalah penting untuk memastikan setiap langkah dalam penyediaan makanan, daripada sumber bahan mentah sehinggalah kepada pengendalian dan penyediaannya.
“Ini termasuk memastikan bahawa tiada sebarang pencemaran silang dengan bahan-bahan haram, penggunaan bahan mentah yang sah dari segi syariah serta mematuhi aspek kebersihan dan keselamatan makanan yang tinggi,” katanya.
“Jika status halal makanan tersebut diragui, adalah lebih baik untuk meninggalkannya demi menjaga keberkatan.
“Pengguna Muslim disarankan untuk memilih produk yang telah mendapat pengesahan halal Malaysia atau mana-mana FHCB yang diiktiraf oleh JAKIM. Dengan cara ini, kita dapat memastikan bahawa apa yang kita makan adalah bersih, suci dan selari dengan tuntutan syariat Islam,” ujar beliau. – WILAYAHKU