DELEGASI media Malaysia sebanyak 15 orang daripada pelbagai agensi berita hari ini berlepas ke Jakarta, Indonesia dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bersempena dengan Program Jejak Serumpun Ikatan Setiakawan Malaysia-Indonesia (ISWAMI) Malaysia.
Lawatan ke Jakarta yang berlangsung selama 10 hari bermula hari ini hingga 21 Feb itu diketuai Presiden ISWAMI Malaysia yang juga Ketua Pengarang Astro AWANI Ashwad Ismail.
Program itu bertujuan mendedahkan para wartawan Malaysia mengenai pelbagai dimensi dan perspektif di sebalik kerancakan Pilihan Raya Presiden (PILPRES) Indonesia 2024 pada 14 Feb dan Hari Pers Nasional (HPN) Indonesia 2024 pada 20 Feb ini di Jakarta.
Ashwad berkata para wartawan yang terpilih juga bakal didedahkan dengan proses demokrasi antara yang terbesar di dunia, kerancakan sektor teknologi hijau, kelestarian dan ekonomi digital di negara itu selain mampu membina keakraban dengan wartawan Indonesia bersempena dengan HPN 2024.
“Kembara ilmu yang singkat tapi padat ini bukan sahaja berkisar tentang pendedahan kepada pesta demokrasi, tetapi juga pertemuan dan dialog dengan mereka yang menjadi cerminan kepada kehebatan Indonesia, contohnya pemain industrifintech ekonomi digital, sektor pembangunan lestari serta keupayaan mereka merakyatkan teknologi hijau.
“Dalam landskap geopolitik dunia yang kian mencabar ini, para wartawan Malaysia juga harus didedahkan dengan usaha-usaha diplomasi ‘Track 2’ oleh pelbagai institut dan badan bukan kerajaan di Indonesia yang mengangkat agenda kebersamaan antara rakyat di pentas ASEAN serta internasionalisme yang positif,” katanya.
Menerusi Program Jejak Serumpun yang ditaja oleh Berjaya Corporation Berhad, Green Growth Asia Foundation dan vFive Group, wartawan Malaysia juga akan mengikuti beberapa siri lawatan dan pertemuan bersama Presiden ISWAMI Indonesia Asro Kamal Rokan.
Pertemuan bersama pimpinan media Indonesia dan agensi-agensi penting juga akan diadakan dalam usaha memperkukuh lagi hubungan kedua-dua negara.
Ketua-ketua pengarang dari Malaysia juga akan menyertai delegasi ISWAMI ke program HPN 2024 pada 20 Feb ini, yang merupakan acara tahunan mengumpulkan lebih 6,000 wartawan dari seluruh Indonesia.
Secara tradisinya, ISWAMI Malaysia dijemput menghadiri HPN yang diadakan setiap tahun pada 9 Feb, namun ditunda ke 20 Feb tahun ini susulan berlangsungnya PILPRES 2024.
ISWAMI ialah forum wartawan Malaysia – Indonesia yang ditubuhkan pada 2003 sebagai jambatan kepada hubungan media Malaysia dan Indonesia, berperanan membina kemakmuran bersama kedua-dua negara rumpun Nusantara. – BERNAMA