DEKORASI mewah yang diketengahkan pusat rekreasi dan perkhemahan Glamping@Wetland, (GL@W) Putrajaya pastinya akan
memukau pandangan setiap pengunjung yang hadir ke sini.
Bukan sahaja terpesona dengan kecantikan rekaan khemah yang ditonjolkan, para pengunjung juga dapat menikmati keindahan alam
semulajadi yang dikelilingi tumbuhan hijau, pelbagai spesis haiwan serta merasai aktiviti-aktiviti sukan lasak yang disediakan.

Pengurusnya, Mohd Nor Arif Mohd Azmi berkata, rekaan kawasan itu adalah cetusan ideanya sendiri yang diinspirasikan daripada konsep Gopeng Glamping Park, Perak, namun Putrajaya menawarkan pakej khemah yang berbeza.
“Di peringkat fasa 1, kita membuka 10 unit glamping kepada orang awam di mana kesemua unit ini dinamakan sebagai super VIP glamping yang mampu memuatkan seramai 36 dewasa dalam satu masa.
“Kami tawarkan dua pakej khemah berbeza iaitu satu khemah untuk dua orang dan satu khemah yang memuatkan empat orang. InsyaAllah di pertengahan bulan ini, kami akan membuka 12 unit khemah lagi bersaiz lima meter,” katanya kepada Wilayahku.
Ujar beliau, menariknya, GL@W menjanjikan perkhemahan glamor di mana setiap khemah dilengkapi dengan permaidani, pendingin
hawa, tilam yang empuk dan penapis udara buat keselesaan pengunjung.
Untuk menghilangkan kebosanan pengunjung, ujarnya, GL@W glamping juga turut menyediakan permainan indoor secara percuma yang boleh didapati di bahagian pengurusan seperti congkak, chess, saidina, UNO dan banyak lagi.
Dalam pada itu, Arif memberitahu di pertengahan bulan Disember, pihak GL@W akan menambah lagi aktiviti seperti Ninja Warrior yang dibuka untuk kanak-kanak di bawah umur 15 tahun serta stand up paddle iaitu aktiviti kayak secara berdiri di atas bot mengelilingi tasik.
“Untuk makluman, setiap aktiviti yang tersedia adalah tidak termasuk di dalam pakej bayaran penginapan,” katanya.
Arif turut mengajak orang ramai sama ada di sekitar Putrajaya mahupun luar untuk mengunjungi dan merasai sendiri pengalaman menginap di GL@W dan bagi yang berminat, tempahan boleh dilakukan melalui talian hotline kami di 013-408857 atau e-mel
kami di [email protected]. – WILAYAHKU