Berita

Dedah teknologi robotik kepada belia

ADAM ADLI bersama juara kategori 16 kilogram multibot.
- Diterbit 12 Julai 2024 4:50 PM MYT

YOUTH Robot Challenge 2024 anjuran Kementerian Belia dan Sukan menjadi platform perkongsian idea, pengetahuan dan pendedahan golongan belia dalam bidang teknologi robotik.

Menurut Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim, pertandingan robotik yang diwujudkan sejak 2018 itu juga telah memberi pelbagai manfaat termasuk pendedahan dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Tahun ini kami menerima penyertaan yang semakin tinggi dan ia menandakan satu indikator yang sihat terutama sekali dalam penglibatan serta peningkatan kualiti kemahiran dalam bidang TVET dan juga teknologi robotik yang mampu ditonjolkan oleh pelajar Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) dan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN).

“Selain itu, pertandingan berkenaan juga dapat mencungkil bakat dan menyerlahkan potensi mereka dalam bidang itu,” ujarnya.

Beliau berkata Pertandingan Youth Robot Challenge itu akan diteruskan pada tahun hadapan selain merancang untuk berkolaborasi dengan beberapa kementerian lain seperti Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta Kementerian Sumber Manusia (KESUMA).

“Pertandingan ini juga menekankan kepentingan teknologi dalam memacu inovasi serta pemahaman mendalam terhadap robotik.

“Youth Robot Challenge tidak hanya merangsang minat terhadap sains dan teknologi tetapi memupuk semangat kreativiti dan Kerjasama berpasukan “Kementerian Belia dan Sukan (KBS) komited dalam membangunkan bakat tempatan dalam bidang yang semakin penting ini,” ujarnya.  – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas