DEWAN Bahasa dan Pustaka (DBP) merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim atas keprihatinan menghidupkan semula Hadiah Bahasa dengan penglibatan Public Bank Berhad.
DBP dalam kenyataan berkata, pengumuman tersebut dibuat Perdana Menteri dalam Majlis Berbuka Puasa Bersama dengan Wakil Syarikat Korporat dan Syarikat Berkaitan Kerajaan di Dewan Tun Canselor, Universiti Multimedia
Malaysia.
“Sebagai sebuah badan yang dipertanggungjawabkan
memartabatkan bahasa dan sastera kebangsaan, DBP bersedia bekerjasama melaksanakan pelbagai program
yang menyumbang pada penghasilan karya ilmiah pelbagai
bidang yang bermutu dalam bahasa Melayu.
“DBP sangat mengalu-alukan pelibatan sektor swasta dalam usaha menjadikan bahasa Melayu
sebagai bahasa ilmu.
“Pengumuman penganjuran Hadiah
Bahasa ini menyuntik semangat dan menarik minat golongan akademik, profesional untuk terus menghasilkan karya bahasa sebagai bahan bacaan dan rujukan
masyarakat,” ujarnya.
Tambah kenyataan itu, Hadiah Bahasa ini juga turut memberikan penghargaan dan pengiktirafan pada karya dalam bahasa Melayu yang berkualiti dan bermutu tinggi dari segi bahasa
dan isinya yang dihasilkan oleh pelajar dari peringkat
rendah hingga ke peringkat universiti.
“Semoga penganjuran Hadiah Bahasa ini dapat
memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan
meningkatkan pengupayaan modal insan sejajar dengan
satu daripada teras Malaysia MADANI, iaitu daya cipta,” katanya. – WILAYAHKU