Berita

DBKL umum belanjawan 2023 RM 2.6 bilion

- Diterbit 4 Januari 2023 9:17 AM MYT

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengumumkan belanjawan tahun 2023 berjumlah RM2.604 bilion yang mencatat penurunan 3.7 peratus daripada jumlah tahun lepas.

Daripada jumlah tersebut, kira-kira RM1.96 bilion atau (75 peratus) adalah bajet mengurus manakala baki RM643.7 juta adalah untuk peruntukan pembangunan.

Mengumumkan bajet itu pada Rabu (4 Jan), Datuk Bandar Datuk Seri Mahadi Che Ngah berkata bahagian pengurusan bajet itu terdiri daripada lima kawasan.

Ini adalah perkhidmatan dan pembekalan (RM1.277 bilion), bayaran lebih masa (RM64.6 juta), gaji pekerja (RM497.7 juta), bayaran tetap (RM99.2 juta) dan pelbagai (RM21.7 juta).

“Daripada jumlah ini, peruntukan untuk gaji pekerja, perkhidmatan dan bayaran tetap telah meningkat masing-masing sebanyak 2.1 peratus, 0.2 peratus dan 6 peratus daripada 2022.

“Sementara itu, bajet untuk bayaran lebih masa dan perbelanjaan pelbagai telah menurun masing-masing sebanyak 1.3 peratus dan 1 peratus,” katanya pada sidang media di Menara DBKL 1 di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur pada Rabu.

Mahadi berkata bajet pembangunan terdiri daripada pembiayaan DBKL bernilai RM540.7 juta dan geran daripada Kerajaan Persekutuan bernilai RM103 juta.

“Peruntukan RM103 juta adalah untuk membiayai projek pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 dan program Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) Greater Kuala Lumpur,” katanya.

Dari segi unjuran hasil, Datuk Bandar berkata pihaknya menjangkakan penurunan 9.4 peratus, daripada RM2.298 bilion pada 2022 kepada RM2.082 bilion tahun ini.

“Menyumbang kepada penurunan ini ialah pengurangan kutipan yuran kawalan dan perancangan pembangunan daripada RM433.5 juta pada 2022 kepada RM224.3 juta tahun ini.

“Bagaimanapun, aliran pendapatan utama kami, iaitu kutipan yuran taksiran, dijangka meningkat sebanyak 0.7% kepada RM1.37 bilion,” katanya.

Mengenai pengurusan penjaja, DBKL memperuntukkan kira-kira RM54.3 juta untuk kerja-kerja penyelenggaraan, menaik taraf pusat komersial dan pasar awam.

Beberapa tempat seperti bazaria Genting Klang, pasar Chow Kit, Pekan Sungai Besi, Keramat Mall, dan UTC Sentul telah dikenal pasti untuk tujuan ini.

Sejumlah RM266.4 juta juga diperuntukkan untuk menaik taraf jalan dan pengurusan trafik, termasuk projek pelebaran jalan dan pembinaan jalan penghubung baharu.

Beliau turut menyatakan bahawa kira-kira RM67.8 juta diperuntukkan untuk projek tebatan banjir di ibu negara, dan menambah bahawa DBKL akan memohon peruntukan tambahan RM500 juta daripada Kerajaan Persekutuan untuk tujuan ini.

Mahadi berkata, selari dengan usaha DBKL untuk mencapai 17 Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) di Kuala Lumpur Belanjawan DBKL 2023 adalah bertemakan ‘Bandar Raya Mampan, Sejahtera Bersama’.

“Tema ini mencerminkan komitmen DBKL terhadap pemerkasaan Kuala Lumpur sebagai bandar raya yang mampan dan inklusif. Dengan peruntukan yang disediakan ini, kami akan menggandakan usaha untuk mencapai objektif ini, demi kesejahteraan warga kota,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas