Berita

DBKL uji penggunaan ‘articulated bus’ di pusat bandar KL

- Diterbit 11 Januari 2025 9:38 PM MYT

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang menjalankan ujian penggunaan ‘articulated bus’ bagi menilai kesesuaian kenderaan itu untuk perkhidmatan di pusat bandar Kuala Lumpur.

Menurut DBKL, ujian akan dijalankan di empat laluan yang telah dikenal pasti, dengan setiap laluan diuji bagi tempoh satu bulan.

“Menerusi inisiatif ini juga, DBKL turut menjalankan kaji selidik untuk menilai keberkesanan perkhidmatan bas dari perspektif pengguna.

“Kaji selidik ini bertujuan mendapatkan maklumat tentang aspek seperti masa menunggu, keselesaan, keperluan destinasi dan keperluan lain yang relevan,” katanya dalam kenyataan.

DBKL menambah, maklumat yang diperoleh daripada kaji selidik ini akan digunakan untuk menentukan kesesuaian penggunaan kenderaan ini berdasarkan pandangan awam.

Katanya, tempoh kaji selidik adalah dari 1 Januari hingga 30 April ini.

“Rujuk poster yang tertera untuk maklumat lanjut mengenai laluan yang terlibat dan tempoh kaji selidik. Pengguna juga boleh mengimbas kod QR yang disediakan untuk menyertai kaji selidik tersebut,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas