Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Berita

DBKL tutup tiga premis kotor

- Diterbit 1 Julai 2024 10:26 AM MYT

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melaksanakan tindakan penutupan serta merta kepada tiga premis dalam satu oeprasi bersepadu di kompleks Pasar Borong, Pusat Bandar Utara Kuala Lumpur.

Operasi tersebut dilakukan DBKL melalui Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar, Jabatan Penguatkuasaan serta Jabatan Pelesenan dan Pembangunan Perniagaan melibatkan empat premis iaitu dua buah premis penyembelihan ayam dan dua premis memproses makanan mentah iaitu taugeh.

DBKL berkata, sebanyak tiga premis dikenakan tindakan penutupan serta merta di bawah Akta Makanan 1983 dan satu premis akan dibatalkan lesen.

“Selain itu, sebanyak 16 kompaun kesalahan telah dikeluarkan di bawah peruntukan UUK Pelesenan Petempatan Makanan (WPKL) 2016, UUK Pelesenan Tred, Perniagaan Dan Perindustrian (WPKL) 2016 dan Akta Jalan, Parit Dan Bangunan 1974.

“Antara kesalahan yang dikenal pasti adalah premis didapati kotor, semua sisa ayam seperti bulu ayam dan darah ayam disalir terus ke longkang awam,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook semalam.

Tambahnya, hasil siasatan Indah Water Konsortium (IWK) pula mendapati loji berhampiran dipenuhi oleh bulu ayam dan lemak ayam.

Jelasnya lagi, pekerja premis turut didapati tiada suntikan typhoid serta tidak memakai pakaian yang bersih dan sesuai di dalam mengendalikan bahan mentah.

“Sementara itu, siasatan dan pemantauan di premis memproses taugeh pula mendapati premis dalam keadaan kotor, bekas yang berisi taugeh terdedah dan mudah dihurung oleh tikus.

“Semasa operasi dijalankan, petugas turut mendapati pekerja mengutip semula taugeh-taugeh yang telah jatuh ke lantai dan dibungkus semula,” ujarnya.

DBKL mengingatkan agar semua pemilik premis di ibu kota agar sentiasa menjaga kebersihan premis dan mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan dalam syarat lesen perniagaan. – WILAYAHKU.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas