Berita

DBKL tutup 3 premis kotor

- Diterbit 20 Februari 2024 4:03 PM MYT

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengeluarkan arahan penutupan kepada tiga buah premis dalam satu Operasi Sepadu Bersih di sekitar ibu negara.

DBKL berkata operasi tersebut dilaksanakan di sekitar Jalan Genting Klang di Parlimen Setiawangsa; Jalan Maktab di Parlimen Titiwangsa); Taman Mastiara di Parlimen Batu); KL East Mall di Parlimen Wangsa Maju; Taman Bukit Anggerik di Parlimen Bandar Tun Razak dan Jalan Rimbunan Raya 1 di Parlimen Kepong.

Menurut DBKL, sejumlah 58 buah premis telah diperiksa dan hasilnya tiga premis dikenakan tindakan arahan penutupan di bawah Undang-Undang Kecil (UUK) 28(1) Undang-undang Kecil Pelesenan Petempatan Makanan (WPKL) 2016.

“Selain itu, sebanyak 65 kompaun telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan di bawah Undang-Undang Kecil Pelesenan Petempatan Makanan (WPKL) 2016, Undang-undang Kecil Pengendali Makanan 1979 dan Akta Kerajaan Tempatan 1976.

“Pelbagai kesalahan bersabit aspek kebersihan, petugas serta persekitaran premis telah dikenakan tindakan,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

DBKL turut menegaskan akan meneruskan tindakan seumpama ini dari semasa ke semasa bagi memastikan pengusaha premis makanan mematuhi kehendak kesihatan yang telah ditetapkan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas