Berita

DBKL tubuh satu Task Force Khas, ambil tindakan penyewa culas

- Diterbit 22 November 2024 12:10 PM MYT

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan menubuhkan satu Task Force khas bermula Disember ini.

DBKL berkata Task Force Khas itu ditubuhkan untuk mengambil tindakan ke atas penyewa yang mempunyai tunggakan sewa melibatkan tindakan kunci air termasuk menamatkan perjanjian penyewaan.

“DBKL memandang serius isu tunggakan sewa di Perumahan Awam (PA) dan Projek Perumahan Rakyat (PPR).

“Walaupun pelbagai peringatan telah diberikan, segelintir penyewa masih culas menunaikan tanggungjawab membayar sewa bulanan,” katanya menerusi laman rasmi Facebook DBKL, hari ini.

DBKL berkata pihaknya telah menyediakan pelbagai kaedah pembayaran, termasuk secara atas talian dan tiada alasan untuk tidak menjelaskan sewa tepat pada masanya.

“Perlu diingat bahawa kadar sewa yang dikenakan adalah sangat rendah berbanding nilai sebenar pasaran iaitu serendah RM124 sebulan untuk rumah dengan dua atau tiga bilik.

“Ini bertujuan membantu golongan yang memerlukan. Namun, sikap tidak bertanggungjawab segelintir penyewa menyebabkan DBKL terpaksa mengambil tindakan tegas,” ujarnya.

Tambahnya lagi terdapat berpuluh ribu pemohon yang menunggu giliran untuk menyewa rumah PA/PPR ini.

“Maka, mereka yang telah diberi peluang sepatutnya bersyukur dan melaksanakan tanggungjawab membayar sewa.

“Jika tidak, peluang ini sewajarnya diberikan kepada mereka yang lebih menghargainya. Tak begitu?,” katanya.

Dalam pada itu, DBKL turut mengingatkan penyewa untuk tidak mengambil ringan berkenaan perkara ini dan tindakan akan dikenakan kepada penyewa yang gagal membayar sewa.

“DBKL ingin mengingatkan, ini bukan soal mampu atau tidak mampu, tetapi soal sikap.

“Jangan ambil ringan tanggungjawab anda sebagai penyewa. Rumah yang anda diami ini adalah satu keistimewaan, bukan hak mutlak.

“Jika anda tidak mampu menghormati syarat, pihak DBKL tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan demi keadilan kepada pemohon lain.

“Hargailah peluang ini sebelum ia dirampas oleh sikap culas anda sendiri,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas