DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menegaskan tidak pernah melantik mana-mana pihak ketiga untuk menguruskan sebarang sumbangan atau bantuan berkaitan kucing yang diselamatkan.
Penegasan DBKL itu susulan hantaran yang dimuat naik di laman X berkaitan kutipan dana bagi pengurusan sumbangan berkenaan.
“Kami memandang serius penyalahgunaan nama DBKL oleh pihak tidak bertanggungjawab serta boleh mengelirukan orang ramai,” kata DBKL dalam kenyataan ringkas di Facebook.
Tambah DBKL, pihaknya tidak mempunyai sebarang kaitan dengan akaun sumbangan yang dinyatakan dalam hantaran tersebut.
Terdahulu tular mengenai hantaran di X mengenai pihak yang meminta sumbangan terhadap kucing-kucing yang diselamatkan.
Pihak berkenaan turut menyertakan nombor akaun bank dan kod QR dengan rujukan Rescue Cats DBKL. – WILAYAHKU