MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa menegaskan tiada sebarang obligasi untuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur menyalurkan apa-apa bentuk peruntukan kepada Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) dan Kuala Lumpur City FC (KL City FC).
Menurut Zaliha, walaupun ianya merupakan amalan kebiasaan sebelum ini KLFA dan KL City FC adalah merupakan badan yang berdiri dengan sendiri dan tidak mempunyai ikatan secara formal dengan DBKL dan beroperasi secara bebas.
“Perlu diingatkan bahawa hasil pendapatan DBKL sebahagian besarnya datang dari cukai yang dibayar oleh rakyat.
“Oleh yang demikian, adalah menjadi tanggungjawab DBKL untuk memastikan bahawa wang cukai rakyat ini digunakan dengan sebaikbaiknya demi kesejahteraan dan kemakmuran semua warga kota,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan bekas menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad yang juga bekas presiden KLFA memohon agar 0.5 peratus daripada jumlah pendapatan DBKL dapat disalurkan kepada KLFA dan KL City FC.
Namun tambah beliau, DBKL sentiasa bersedia membantu dan benar-benar menghargai usaha-usaha KLFA dan KL City FC dalam memajukan sukan bola sepak di Kuala Lumpur.
“Saya turut berbangga dengan pencapaian yang ditonjolkan selama ini serta melihat potensi besar dan masa depan yang cemerlang bagi pasukan KL City FC,” ujarnya. – WILAYAHKU