Berita

DBKL telah tebang 61 pokok berisiko

Kredit: DBKL
- Diterbit 17 Mei 2024 9:20 AM MYT

SEBANYAK 61 batang pokok yang dikategorikan berisiko tinggi telah ditebang manakala arahan kerja segera untuk penebangan baki 21 batang pokok lagi telah dikeluarkan dan dijangka siap sepenuhnya pada pertengahan Jun 2024.

Pengarah Jabatan Pembangunan Landskap dan Rekreasi, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) LAr. Zulkifli Endut berkata terdapat beberapa kategori pokok yang perlu ditebang setelah mengambil kira pendapat daripada aborist iaitu pakar profesional dalam pengurusan dan kajian pokok.

“Antara kategori pokok yang dicadangkan adalah pokok mati atau separuh mati; pokok condong  berisiko; ruang sempit yang menyebabkan pokok tidak seimbang dan kerja-kerja pelebaran siar kaki atau longkang yang berisiko kepada pokok.

“Selain itu pihak aborist juga turut mengesyorkan pokok yang di vandalisme contohnya dikelar atau diracun, pokok telah dilanggar kenderaan lebih 50 peratus; pokok terlalu rapat dengan bangunan; pokok sekah telah melebihi 40 peratus dan pokok liar yang dikategorikan berisiko,” katanya ketika dihubungi Wilayahku pada Rabu.

Menurut Zulkifli, aborist yang dilantik DBKL telah memerikas lebih 560 batang pokok di beberapa kawasan di Kuala Lumpur.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 470 batang pokok disyorkan untuk dilakukan kerja-kerja penyelenggaraan seperti cantasan manakala 90 batang pokok lagi untuk ditebang.

Tambah Zulkifli, setakat ini sebanyak 61 batang pokok telah ditebang manakala baki 21 pokok akan ditebang secara berperingkat dijangka selesai pertengahan bulan Jun 2024. –WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas