Berita

DBKL tegas selaras papan tanda bahasa Melayu

- Diterbit 25 November 2024 5:48 PM MYT

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menegaskan tindakan penguatkuasaan peraturan papan tanda yang dijalankan di sekitar ibu kota adalah selaras dengan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan atau bahasa rasmi negara Malaysia.

DBKL dalam satu kenyataan berkata penguatkuasaan tersebut bertujuan memastikan premis perniagaan mematuhi Undang – Undang Kecil Iklan (Wilayah Persekutuan) 1982, Akta Kerajaan Tempatan 1976 yang telah ditetapkan.

“DBKL bertanggungjawab memproses dan meluluskan papan tanda iklan premis perniagaan yang merupakan sebahagian daripada lesen komposit iaitu lesen yang diluluskan bersama lesen premis perniagaan.

“Semua pemilik premis perniagaan hendaklah memastikan pemasangan papan tanda iklan di premis perniagaan, perlu terlebih dahulu memohon lesen sebagaimana diperuntukkan di dalam perenggan 5 (1) Undang-undang Kecil Iklan WPKL 1982,” katanya.

Tambahnya, bagi permohonan lesen papan tanda premis ini, pengesahan visual daripada pihak Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) adalah salah satu dokumen wajib yang perlu diserahkan oleh pemohon kepada DBKL untuk kelulusan.

“Berdasarkan Undang–Undang Kecil Iklan (Wilayah Persekutuan) 1982, Akta Kerajaan Tempatan 1976 menyatakan bahawa semua iklan hendaklah dalam bahasa kebangsaan dan boleh juga dalam apa–apa bahasa lain.

“Selain itu, huruf–huruf bagi perkataan–perkataan dalam bahasa kebangsaan hendaklah diberi keutamaan dan hendaklah dari saiz yang lebih besar daripada huruf–huruf atau tulisan perkataan dalam bahasa lain.

“Yang terakhir, jika nama sesuatu firma, persatuan atau syarikat, sebagaimana yang didaftarkan di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956, Akta Syarikat 1965 atau Akta Pertubuhan 1966, terdiri dari atau termasuk perkataan–perkataan yang bukan dalam bahasa kebangsaan, maka tidaklah perlu untuk menterjemahkan perkataan–perkataan itu ke dalam bahasa kebangsaan,” ujarnya.

Jelasnya lagi sepanjang tahun 2024, DBKL dengan kerjasama DBP telah menjalankan operasi di enam lokasi pusat membeli-belah dan telah mengambil tindakan penguatkuasaan dengan mengeluarkan 31 notis kesalahan terhadap premis–premis yang menyalahi peraturan.

“Antaranya premis mempunyai lesen perniagaan tetapi tidak mempunyai kelulusan lesen iklan papan tanda di mana premis akan dikenakan tindakan kompaun oleh DBKL dan tindakan menurunkan papan iklan juga boleh dilakukan oleh DBKL.

“Seterusnya, premis yang mempunyai lesen perniagaan dan lesen iklan papan tanda tetapi melanggar syarat–syarat iklan iaitu seperti yang termaktub dalam Undang–Undang Kecil Iklan (Wilayah Persekutuan) 1982, Akta Kerajaan Tempatan 1976 iaitu perkataan dalam bahasa kebangsaan perlu lebih besar dari saiz huruf dalam bahasa lain,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Pelancongan, Datuk Seri Tiong King Sing mendakwa penguatkuasaan peraturan papan tanda dwibahasa oleh DBKL mencetuskan tindak balas melampaui batas, menimbulkan rasa tidak puas hati serta mewujudkan persepsi negatif dalam kalangan pelancong.

Tiong dipetik berkata, tindakan itu menyebabkan pelancong mempersoalkan keterbukaan dan keterangkuman Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum.

Khamis lalu, media melaporkan DBKL melancarkan operasi berskala besar menyasarkan papan tanda yang tidak memaparkan bahasa Melayu di beberapa kawasan, termasuk Segambut, Pudu dan Jalan Silang di Kuala Lumpur. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas