Berita

DBKL tambah tiga khemah niaga untuk bazar Deepavali

Foto: Raymond Manuel
- Diterbit 21 Oktober 2024 12:16 PM MYT

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengambil tindakan serta-merta dengan menambah tiga khemah bagi menyediakan ruang kepada enam peniaga untuk terus beroperasi sebagai usaha untuk membantu para peniaga yang terjejas.

Unut Medianya berkata pelaksaan arahan yang diberikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mystafa adalah untuk memastikan peniaga-peniaga terlibat mendapat peluang berniaga sempena sambutan Deepavali yang bakal tiba.

“Manakala atas persetujuan sendiri, pihak penganjur akan mencari tapak alternatif bagi dua lagi khemah yang melibatkan empat orang lagi peniaga, untuk mereka meneruskan perniagaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kata kenyataan itu, DBKL komited untuk memastikan proses ini berjalan lancar agar kesemua peniaga dapat memanfaatkan musim perayaan ini dan dapat menjana pendapatan.

“DBKL juga ingin menegaskan bahawa langkah ini selaras dengan pendekatan yang lebih menyeluruh bagi memastikan pengurusan bazar pada masa hadapan dikendalikan oleh DBKL sendiri, tanpa melibatkan pihak ketiga bagi mengelakkan sebarang isu berkaitan ketidakpatuhan syarat atau kos sewa yang membebankan peniaga,” katanya.

Tambah DBKL, pihaknya mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah bekerjasama dalam menyelesaikan isu ini.

“DBKL komited untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada warga Kuala Lumpur serta memastikan suasana perniagaan yang adil dan teratur untuk semua pihak,” katanya.

Terdahulu Zaliha yang melawat bazar Deepavali berkenaan pada Jumaat lalu meminta Datuk Bandar Kuala Lumpur, Daruk Seri Maimunah Mohd Sharif membantu 10 peniaga Bazar Deepavali di Brickfields yang tidak dibenarkan berniaga sebelum ini.

Katanya, kebenaran jumlah tapak yang diberikan oleh DBKL kepada persatuan tersebut adalah 20 tapak.

” Tetapi pihak persatuan telah tawarkan tapak perniagaan melebihi jumlah tapak yang dibenarkan.

“Jadi, disebabkan itu, tapak yang lebih itu diambil tindakan oleh DBKL. Bukan salah mereka. Tapi pihak ketiga yang menguruskan yang tidak ikut arahan yang ditetapkan oleh DBKL,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas