Berita

DBKL tidak kenakan caj tempat letak kereta di kawasan perumahan

Dr. Zaliha Mustafa. Kredit: BERNAMA
- Diterbit 19 Februari 2025 12:37 PM MYT

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak mengenakan caj bayaran Tempat Letak Kereta (TLK) di kawasan perumahan kerana tidak mempunyai sebarang aktiviti komersial.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa, berkata petak TLK di kawasan perumahan ditanda dengan warna putih bagi membezakan petak TLK yang dikenakan caj dengan warna kuning.

“Berdasarkan kepada perbandingan antara pengurusan petak TLK di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan
Zon Kawalan Parkir (ZKP) seperti di London, DBKL turut menggunakan asas yang hampir sama dalam pengoperasian pengurusan TLK.

“Sebagai contoh, DBKL menggunakan kadar caj yang berbeza di zon pusat bandar dan zon luar pusat bandar.

“Selain itu, DBKL turut menyediakan petak khas berbayar di kawasan tertentu dan juga mengeluarkan pas bulanan bagi kemudahan kepada pengguna petak TLK,” katanya di Dewan Rakyat.

Dr. Zaliha Mustafa. Kredit: BERNAMA

Zaliha menjawab pertanyaan Fong Kui Lun (PH-Bukit Bintang) sama ada kerajaan bercadang memperkenalkan sistem ZKP seperti di London, khususnya bagi kawasan perumahan di Kuala Lumpur yang sering menghadapi masalah kekurangan tempat letak kereta.

Menurut Zaliha lagi, pengurusan TLK bahu jalan adalah berdasarkan Perintah Pengangkutan Jalan (Peruntukan TLK) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2016.

Melalui perintah itu, peraturan berkaitan pengurusan, penggunaan, penguatkuasaan dan caj bayaran TLK telah ditetapkan mengikut zon.

DBKL juga telah melaksanakan kaedah caj bayaran TLK bahu jalan ini secara dalam talian / tanpa tunai(cashless), yang boleh dibuat melalui aplikasi telefon pintar dan e-wallet terpilih.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas