DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang dan akan menyusun semula penjaja di ibu kota termasuk pemegang lesen KL Madani dengan memastikan mereka dapat berniaga secara sah di
tapak gerai yang lebih formal dan berstruktur menerusi Program Lestari Niaga.
Menteri di Jabatan Perdana Menterui (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata sepanjang tahun 2023 dan 2024, program ini telah memberi manfaat kepada 2,621 peniaga dan penjaja kecil melalui pelaksanaan 83 projek di 76 lokasi gerai makanan dan pasar.
“Program Lestari Niaga akan diteruskan untuk tahun 2025 dengan cadangan pelaksanaan 20 projek yang dianggarkan akan melibatkan 1,300 penjaja,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawap Fong Kui Lun (PH-Bukit Bintang) ketika sesi jawapan lisan menteri (MQT) di parlimen hari ini.
Zaliha berkata semua pihak perlu akui bahawa penjaja memainkan peranan penting dalam menyediakan produk, khususnya makanan siap masak pada hargayang lebih mampu milik kepada warga kota.
“Namun begitu, saya juga mengambil maklum akan aduan daripada sesetengah komuniti yang terjejas akibat kacau ganggu daripada aktiviti penjaja, terutamanya penjaja tanpa lesen.
“Sehubungan itu, DBKL akan meningkatkan tindakan penguatkuasaan bagi memastikan pematuhan garis panduan dan kesejahteraan awam tetap terjaga.
“Penjaja yang masih beroperasi di bahu jalan dan kaki lima perlu dipindahkan melalui Program Lestari Niaga kerana tidak semua kawasan di Kuala Lumpur adalah sesuai untuk aktiviti penjaja,” katanya.
Sementara itu, Zaliha memaklumkan berdasarkan rekod, jumlah lesen yang telah dikeluarkan di bawah KL Prihatin adalah sebanyak 4,328 dan setelah pandemik berakhir, jumlah terkini pemegang lesen yang masih aktif dan telah memperbaharui lesen atas jenama KL Madani adalah seramai 433 orang sahaja, iaitu kira-kira 10 peratus daripada jumlah lesen asal.
“Lesen KL Madani yang sebelum ini dikenali sebagai Lesen KL Prihatin menerusi inisiatif Wilayah Bebas Berniaga hanya membenarkan permohonan pembaharuan sahaja bagi pemegang lesen KL Prihatin sahaja dan sebarang permohonan baharu tidak akan dipertimbangkan,” katanya. – WILAYAHKU