DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) terus komited dalam memastikan bandar Kuala Lumpur kekal teratur, selesa dan selamat untuk semua dengan mengenakan tindakan terhadap premis perniagaan warga asing.
DBKL berkata pihaknya melalui Jabatan Penguatkuasaan bersama Pejabat Cawangan Kepong telah melaksanakan tindakan khas terhadap premis perniagaan yang dikendalikan oleh warga asing pada 16 Oktober 2024.
“Hasil daripada tindakan khas tersebut, sebanyak empat Notis Tawaran Kompaun dan dua Notis Penguatkuasaan telah dikeluarkan di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 dan UUK Pelesenan Penjaja (WPKL) 2016.
“Selain itu, tiga buah gerai telah dikenakan tindakan sita serta-merta,” katanya menerusi hantaran di laman Facebook.
Tambahnya kesemua barangan yang disita dan dipindah halangan telah dibawa ke Setor Sitaan Jalan Lombong, Taman Miharja Cheras, Kuala Lumpur untuk tindakan rekod dan dokumentasi.
“Pihak DBKL akan meneruskan tindakan dan pemantauan dari semasa ke semasa di lokasi tumpuan yang telah dikenal pasti. Sebarang aduan, orang awam boleh berhubung atau menyalurkan maklumat dipautan tertera seperti berikut https://adukl.dbkl.gov.my/,” ujarnya. – WILAYAHKU