DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melaksanakan sebanyak sembilan tindakan sita barangan perniagaan warga asing di sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur.
Tindakan Khas tersebut dilaksanakan DBKL melalui Jabatan Penguatkuasaan, Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar dan Pejabat Cawangan Batu.
DBKL dalam satu kenyataan di Facebook berkata hasil daripada tindakan khas ini, sebanyak 9 tindakan sita barangan perniagaan telah dilaksanakan ke atas warga asing di bawah UUK 3(1), Undang-undang Pelesenan Penjaja (WPKL) 2016.
Tambahnya, pihak DBKL juga turut melaksanakan satu tindakan pindah halangan di bawah Seksyen 46(1)(d), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.
“Selain daripada itu, DBKL juga turut mengeluarkan dua notis tawaran kompaun di bawah UUK 3(1), Undang-undang Kecil Perlesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (WPKL) 2016 bagi kesalahan menjalankan aktiviti perniagaan tanpa lesen yang sah.
“Manakala tiga notis penguatkuasaan di bawah Seksyen 46(1)(a), Akta Jalan, Parit dan bangunan 1974 bagi kesalahan mendirikan struktur tanpa kebenaran turut dikeluarkan,” katanya.
Jelas DBKL, kesemua barangan yang disita dan dipindah halangan telah dibawa ke Setor Sitaan Jalan Lombong, Taman Miharja Cheras, Kuala Lumpur untuk tindakan rekod dan dokumentasi.
“Pihak DBKL akan meneruskan tindakan dan pemantauan dari semasa ke semasa di lokasi tumpuan yang telah dikenalpasti,” ujarnya. – WILAYAHKU