DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melakukan tindakan sita pelbagai barangan perniagaan milik enam penjaja warga asing di sekitar Jalan Petaling (Petaling Street), Kuala Lumpur.
DBKL melalui Jabatan Penguatkuasaan telah melaksanakan Tindakan Khas Terhadap Penjaja Warga Asing pada petang Sabtu lepas.
DBKL berkata, menerusi maklumat dan pemeriksaan sebelum ini berkaitan aktiviti perniagaan yang dijalankan dan dikendalikan oleh warga asing melibatkan warga Bangladesh di Jalan Petaling dan Jalan Hang Lekir sekitar deretan gerai dan kiosk penjaja berlesen yang telah disediakan oleh pihak DBKL kepada pemilik aktiviti perniagaan warga tempatan.
Menurutnya, pihak DBKL telah mengesan terdapat beberapa buah lot gerai penjaja telah dikendalikan oleh warga negara asing dan pemilik asal menyewa (lesen ali baba) kepada pihak ketiga.
“Dalam tindakan khas kali ini, sepasukan pegawai dan anggota penguatkuasa DBKL telah menyerbu di lokasi yang telah dikenalpasti dan membuat tindakan penguatkuasaan sita dan pindah barangan perniagaan serta merta ke atas enam penjaja warga negara asing di kalangan warga Bangladesh yang menjual pelbagai aksesori, pakaian, baju, seluar, tali pinggang, beg, aksesori telefon, kasut dan lain-lain barangan am secara tanpa kebenaran pihak berkuasa.
“DBKL turut mengeluarkan satu notis kompaun dibawah UUK 14, Undang-Undang Kecil Pelesenan Penjaja Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) 2016 kepada pemilik gerai penjaja warga tempatan yang melantik pembantu warga asing tanpa kebenaran,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.
Tambah DBKL, kesemua 1,440 barangan dan peralatan perniagaan yang disita telah dipindahkan ke Setor Sitaan DBKL Jalan Lombong, Taman Miharja Cheras untuk dokumentasi dan rekod.
“Tindakan penguatkuasaan dijalankan di bawah kesalahan Undang-Undang Kecil Pelesenan Penjaja Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) 2016 dan Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974,” ujarnya.
DBKL menegaskan, pihaknya akan mengeluarkan arahan pembatalan lesen perniagaan kepada pemilik asal lesen yang telah melanggar syarat (lesen ali baba) kepada warga asing termasuk menyenaraikan hitam penama-penama berkenaan.
“DBKL mengingatkan kepada semua pemilik atau pemegang lesen sentiasa mematuhi syarat lesen yang telah dikeluarkan.
“Pemantauan dan tindakan penguatkuasaan akan diteruskan dari masa ke semasa,” tegasnya. – WILAYAHKU