DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyita lima premis/penjaja dalam satu operasi banteras warga asing (KL Strike Force) di sekitar Jalan 3/48A, Bandar Sentul, Batu, Kuala Lumpur pada 27 Ogos lepas.
Operasi tersebut disertai DBKL melalui Jabatan Penguatkuasaan bersama Pejabat Cawangan Setiawangsa dan Wangsa Maju serta Jabatan Imigresen Malaysia.
DBKL berkata hasil daripada operasi khas ini, sebanyak dua notis kompaun telah dikeluarkan di bawah UUK Pelesenan Penjaja (WPKL) 2016 dan lima tindakan sita serta merta di bawah UUK Pelesenan Penjaja (WPKL) 2016.
“Selain daripada itu, seramai 25 orang warga asing telah ditangkap dan dibawa ke Ibu Pejabat Imigresen Kuala Lumpur bagi tujuan semakan dokumentasi.
“Kesemua barangan yang disita dan dipindah halangan telah dibawa ke Setor Sitaan Jalan Lombong, Taman Miharja Cheras, Kuala Lumpur untuk tindakan rekod dan dokumentasi,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.
DBKL menegaskan akan meneruskan tindakan dan pemantauan dari semasa ke semasa di lokasi tumpuan yang telah dikenalpasti.
“Sebarang aduan, orang awam boleh berhubung atau menyalurkan maklumat di pautan https://adukl.dbkl.gov.my/,” ujarnya. – WILAYAHKU