DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur melakukan tindakan sita dan pindah barangan terhadap 35 premis yang menghalang laluan awam dalam satu Tindakan Khas Mega Pindah Halangan Tred Perniagaan dan Penjaja Warga Asing di sekitar Kuala Lumpur, pada Rabu lalu.
Operasi itu dilaksanakan DBKL dengan kerjasama Pejabat Cawangan Seputeh, Pejabat Cawangan Batu, Pejabat Cawangan Setiawangsa, Pejabat Cawangan Bukit Bintang dan Pejabat Cawangan Titiwangsa.
Kawasan yang terlibat ialah sekitar Jalan Kuchai Maju, Sri Petaling, Jalan Tun Sambathan, Jalan Sultan, Jalan Jejaka, Jalan Mahkota, Jalan Peel, Jalan Dato Senu, Jalan Wangsa Delima, Jalan Setiawangsa dan Taman Sri Rampai.
DBKL dalam satu kenyataan di Facebook berkata, tindakan penguatkuasaan khas itu dilaksanakan secara serentak di lima Parlimen melibatkan kawasan tumpuan dan premis perniagaan yang telah dibuat pemeriksaan dan pengeluaran notis pemberitahuan kesalahan sebelum ini.
Menurutnya, pemeriksaan dan tindakan sita, pindah halangan dan kompaun serta merta dikenakan terhadap premis-premis penjajaan makanan minuman, kendera saji (food truck), perniagaan sayuran, buah-buahan, barangan am yang membuat halangan tempat awam dengan perletakan kerusi, meja, stall gerai, barangan jualan dan lain-lain peralatan di atas jalan, laluan pejalan kaki, laluan orang kelainan upaya (OKU), petak parkir awam serta kawasan lapang.
“Sejumlah 35 buah premis dan pemilik aktiviti perniagaan dikenakan tindakan sita dan pindah barangan melibatkan kesalahan halangan tempat atau laluan awam dibawah kesalahan Seksyen 46, Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974.
“Termasuk dua tindakan sita turut diambil ke atas penjaja warga asing berikutan menjalankan perniagaan tanpa lesen pihak berkuasa.
“DBKL turut mengeluarkan satu notis kompaun dibawah UUK 3, Undang-Undang Kecil Pelesenan Penjaja (WPKL) 2016 (penjaja tanpa lesen warga tempatan) dan satu notis kompaun di bawah UUK 22, Undang-Undang Kecil Petempatan Makanan (WPKL) 2016 (melantik pembantu gerai warga asing),” katanya hari ini.
Tambahnya, kesemua barangan dan peralatan yang di sita dipindahkan ke Setor Sitaan DBKL Taman Miharja Cheras.
“DBKL akan meneruskan pemantauan dan tindakan penguatkuasaan di lokasi hotspot lain dari masa ke semasa sekitar 11 parlimen di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur,” ujarnya. – WILAYAHKU