Berita

DBKL sita 2 penjaja jeruk mangga, kedai cuci kereta warga asing

- Diterbit 4 September 2024 4:09 PM MYT

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengenakan tindakan sita terhadap dua peniaga jeruk mangga dan sebuah perniagaan mencuci kereta yang dikendalikan oleh warga asing dalam satu operasi tindakan khas di sekitar Wangsa Maju semalam.

DBKL berkata operasi tersebut dilaksanakan DBKL melalui Jabatan Penguatkuasaan bersama Pejabat Cawangan Wangsa Maju.

“Dalam operasi tersebut, DBKL telah mengambil tindakan sita serta-merta terhadap dua penjaja jeruk mangga warga asing di sekitar Jalan 1/27A, Wangsa Maju.

“Selain itu, DBKL juga turut mengambil tindakan sita terhadap tempat mencuci kereta yang dikendalikan oleh warga asing di lorong belakang Jalan Wangsa Setia 2, Wangsa Maju,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.

Tambah DBKL, kesemua barangan yang diambil tindakan telah dibawa ke Setor Sitaan Jalan Lombong, Taman Miharja Cheras, Kuala Lumpur untuk tindakan rekod dan dokumentasi.

DBKL menegaskan akan meneruskan tindakan dan pemantauan dari semasa ke semasa di lokasi tumpuan yang telah dikenalpasti.

“Sebarang aduan, orang awam boleh berhubung atau menyalurkan maklumat di pautan https://adukl.dbkl.gov.my/,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas