Berita

DBKL sita 16 premis perniagaan warga asing

Kredit: DBKL
- Diterbit 24 Julai 2024 10:12 AM MYT

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melakukan 16 tindakan sita terhadap premis perniagaan warga asing dalam satu operasi bersepadu di sekitar Kuala Lumpur Ahad lepas.

Operasi tersebut dijalankan DBKL bersama beberapa agensi sahabat seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Lemabaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Turut menyertai operasi adalah enam orang Ahli Dewan Negara merangkap Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Hal Ehwal Sosial dan Masyarakat Parlimen Malaysia bertujuan melihat lebih dekat kaedah dan perjalanan sesuatu operasi yang dijalankan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bersama agensi sahabat berkaitan isu-isu semasa terutama melibatkan warga asing.

DBKL berkata, pihaknya telah membuat 16 tindakan sita di bawah Seksyen 46(1)(d), Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 dan Undang-Undang Kecil Pelesenan Penjaja (WPKL) 2016 atas kesalahan meletakkan barangan yang berkaitan dengan perniagaan di tempat awam.

Menurutnya lagi, empat notis kompaun turut dikeluarkan di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 dan Undang-Undang Kecil Tred, Perniagaan dan Perindustrian (WPKL) 2016.

“Selain itu, JIM menahan seramai 15 warga asing melibatkan 14 warga Bangladesh dan seorang warga Myanmar manakala AADK telah menahan seramai sembilan orang.

“Sementara itu tindakan daripada pihak agensi lain, LHDN juga telah membuat pemeriksaan ke atas 21 buah premis perniagaan dan SSM turut mengeluarkan 13 notis kompaun atas pelbagai kesalahan yang dikuatkuasakan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Tambahnya lagi, kesemua barangan yang diambil tindakan pindah halangan oleh DBKL telah dibawa ke Setor Sitaan Jalan Lombong, Taman Miharja Cheras, Kuala Lumpur untuk tindakan rekod dan dokumentasi.

“Pihak DBKL akan meneruskan tindakan dan pemantauan dari semasa ke semasa di lokasi tumpuan yang telah dikenalpasti.

“Sebarang aduan, orang awam boleh berhubung atau menyalurkan maklumat di pautan http://adukl.dbkl.gov.my/eApps/system/index.do,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas