DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi Jabatan Penguatkuasaan dengan kerjasama Pejabat Cawangan Bukit Bintang dan Jabatan Pelesenan dan Pembangunan Perniagaan menyita 15 penjaja tanpa lesen di sekitar Jalan Alor, Bukit Bintang Kuala Lumpur.
DBKL berkata pihaknya melaksanakan Tindakan Khas Aktiviti Penjaja Tanpa Lesen dan Penjaja Warga Asing di sekitar Jalan Alor, Bukit Bintang Kuala Lumpur pada Khamis 18 Januari 2024 bermula pukul 6.30 petang.
“Tindakan khas ini dibuat secara mengejut melalui pemeriksaan dan tindakan penguatkuasaan ke atas aktiviti perniagaan dan penjajaan seperti penjaja makanan, minuman, aksesori, pakaian, burger dan lain-lain aktiviti yang membuat kesalahan menjalankan perniagaan tanpa lesen, salah guna lesen, halangan tred perniagaan di tempat awam dan penjaja warga asing,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Tambahnya barangan dan peralatan yang disita dipindahkan ke Setor Sitaan DBKL Jalan Lombong Taman Miharja Cheras untuk rekod penyimpanan sementara dan dokumentasi.
“Melalui tindakan khas yang dijalankan, DBKL membuat 15 tindakan sita dan pindah barangan / peralatan yang diletakkan di tempat awam terhadap pemilik restoran/gerai (dua kes), penjaja tanpa lesen warga negara (sembilan kes) dan penjaja tanpa lesen warga asing (empat kes) menerusi kesalahan di bawah Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 dan UUK Pelesenan Penjaja (WPKL) 2016.
“DBKL turut mengeluarkan satu notis penguatkuasaan dibawah Seksyen 46, Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974, 2 notis kompaun Penjaja Tanpa Lesen dan dua notis kompaun Melantik Pembantu Gerai Warga Asing di bawah UUK Pelesenan Penjaja (WPKL) 2016,” katanya.
Dalam pada itu, DBKL turut menjalankan Operasi Bersepadu Tapak Bina bersama Agensi Sahabat di sekitar kawasan Segambut.
Operasi tersebut dijalankan DBKL bersama agensi sahabat yang terdiri dari Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH), Pasukan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) serta SWCorp.
“Menerusi operasi kali ini, sebanyak 77 orang warga asing telah diperiksa oleh JIM dan manakala pihak CIDB telah mengeluarkan notis Sek. 27 Akta 520 iaitu pengemukakan maklumat industri pembinaan.
“Pihak Jabatan Penguatkuasaan DBKL telah mengeluarkan enam notis kompaun di bawah peruntukan Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 dan Kaedah Lalulintas Jalan 1959. Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar DBKL pula mengeluarkan dua notis – pungutan jentik-jentik.
“Tapak bina diarahkan tutup (sealed) sehingga pematuhan notis dibuat dan tapak boleh dibuka semula setelah mendapat pengesahan dari pihak DBKL,” ujarnya operasi bersepadu ini, akan diteruskan dari semasa ke semasa di lokasi-lokasi tapak bina yang lain. – WILAYAHKU