Berita

DBKL serbu 12 kediaman dijadikan stor simpanan sayur dan buah

Foto: DBKL
- Diterbit 23 Januari 2025 2:49 PM MYT

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah menyerbu 12 rumah kediaman yang dijadikan stor simpanan dan barang-barang jualan di Taman Batu View berhampiran Pasar Borong Kuala Lumpur, semalam.

Dalam serbuan Tindakan Khas Pindah dan Alih Barangan Perniagaan itu, rumah-rumah berkenaan dijadikan sebagai stor penyimpanan barang perniagaan membabitkan sayur-sayuran, buah-buahan dan barangan runcit tanpa kebenaran pihak berkuasa.

Rumah kediaman itu telah dikesan membuat penukaran kediaman kepada stor simpanan tanpa Perintah Pembangunan menerusi kesalahan di bawah Seksyen 26, Akta Perancangan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) 1982.

Kesemua barangan dan peralatan seperti sayur-sayuran, buah-buahan, barangan am, troli, bakul dan lain-lain peralatan yang disita telah dihantar ke Stor Sitaan DBKL Taman Miharja, Cheras Kuala Lumpur untuk rekod dan dokumentasi.

Operasi dan tindakan khas itu akan diteruskan dari masa ke semasa.

DBKL mengingatkan mana-mana pemilik premis atau kediaman agar mematuhi syarat-syarat kegunaan tanah yang telah diluluskan. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas