Berita

DBKL ‘sealed’ lima premis dikendali warga asing

PENGUATKUASA DBKL menutup sebuah premis perniagaan setelah mendapati ia beroperasi tanpa lesen yang sah semalam. PENGUATKUASA DBKL menutup sebuah premis perniagaan setelah mendapati ia beroperasi tanpa lesen yang sah semalam.
- Diterbit 20 Mei 2021 1:20 PM MYT

LIMA buah premis pakaian borong yang dikendalikan warga asing dan beroperasi tanpa lesen di Kenanga Wholesale City di ibu negara telah diambil tindakan termasuk menutup premis tersebut pada Rabu.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam satu kenyataan berkata, operasi sepasukan anggota penguatkuasa dari Jabatan Penguatkuasaan (JPK) pada jam tiga petang itu telah mengenal pasti kesemua premis perniagaan pakaian borong itu beroperasi menggunakan pekerja warga Bangladesh tanpa kebenaran yang sah dan tidak mempunyai lesen.

“Tindakan penguatkuasaan telah dilakukan dengan menutup (sealed) serta-merta lima premis terbabit di bawah Seksyen 101(1)(v), Akta Kerajaan Tempatan 1976.

“Satu kompaun juga telah dikenakan kepada pemilik premis kerana menggajikan pekerja tanpa kebenaran yang sah di bawah UUK 20(1)(b), Undang-undang Kecil Pelesenan dan Tred 2016, manakala dua notis kompaun di bawah UUK 3(1), undang-undang yang sama kerana menjalankan aktiviti perniagaan tanpa lesen,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, tindakan penguatkuasaan ini dilakukan mengikut bidang kuasa dan peruntukan undang-undang serta prosedur operasi standard (SOP) DBKL.

“Sebarang aduan, warga kota boleh menyalurkan kepada pihak DBKL secara dalam talian di http://ispaaadbkl.dbkl.gov.my/eApps/system/index.do,

“Operasi juga akan diteruskan dari semasa ke semasa,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas