Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Berita

DBKL sasar peningkatan 100 peratus pemuliharaan hutan dalam Kuala Lumpur

- Diterbit 23 Jun 2024 12:33 PM MYT

DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), menerusi Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040 (PSKL2040), menyasarkan peningkatan 100 peratus dalam pemuliharaan hutan sedia ada dan kawasan rekreasi di seluruh Kuala Lumpur menjelang tahun 2040.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata matlamat DBKL untuk mencapai nisbah 20 meter persegi kawasan hijau bagi setiap penduduk adalah selari dengan amalan terbaik yang telah ditetapkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Katanya, dalam usaha untuk mengoptimumkan perancangan pembangunan di Kuala Lumpur, beliau telah mengarahkan DBKL untuk memastikan agar semua perancangan penggunaan tanah perlu dilaksanakan dengan teliti.

“Selain itu, penggunaan tanah perlu mampan dan berdaya saing demi memanfaatkan tanah lapang dan kemudahan rekreasi awam sedia ada di Kuala Lumpur yang meliputi 9.16 peratus daripada keseluruhan penggunaan tanah di kota ini,” katanya dalam hantaran di Facebook malam tadi.

Zaliha berkata pihak DBKL menyatakan komitmen untuk menyediakan Garis Panduan Pelaksanaan Penilaian Impak Sosial (SIA) untuk memastikan pembangunan lebih teratur.

“Ia bagi memastikan pembangunan yang akan datang dilaksanakan dengan lebih terancang, berkesan dan memberi impak sosial yang positif kepada kehidupan serta kesejahteraan warga kota.

“Penyediaan Garis Panduan Pelaksanaan Penilaian Impak Sosial (SIA) merupakan antara komitmen DBKL dalam melaksanakan dasar serta polisi di peringkat nasional dan global, seperti Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), Malaysia MADANI, PSKL2040 dan seumpamanya,” katanya.

Terdahulu beliau mempengerusikan Mesyuarat Pusat Setempat (OSC) Khas yang telah berlangsung selama tiga hari berakhir pada Jumaat.- WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas