DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur telah menjalankan operasi roboh terhadap 46 struktur penjaja haram di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Pantai dekat Bandar Tun Razak.
Menerusi laman facebook (FB) DBKL, notis pemakluman 14 hari telah dikeluarkan pada 16 Oktober 2023 kepada penjaja yang terlibat bagi membolehkan mereka membuat persiapan bagi mengosongkan tapak serta peralatan mereka sebelum kerja perobohan dilaksanakan.
“Operasi tersebut dilaksanakan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia, Tenaga Nasional Berhad dan Air Selangor pada 1 November yang lalu,” katanya hari ini.
Menurut DBKL, pihaknya telah mengadakan sesi libat urus lebih awal bersama penjaja terlibat bermula April 2023.
“Berdasarkan kepada sesi libat urus berkenaan, kesepakatan telah dicapai berkenaan penempatan semula serta pemindahan penjaja di beberapa lokasi baharu seperti Medan Selera Tempat Letak Kereta PPR Seri Pantai, Bazaria Pantai, Medan Selera Seri Pantai dan unit kedai di kawasan perumahan,” katanya.
DBKL berkata operasi ini dijalankan sebagai salah satu usaha menyusun semula penjaja di Kuala Lumpur khususnya di kawasan Perumahan Awam (PA) dan Projek Perumahan Rakyat (PPR).
Jelas DBKL, pihaknya akan terus komited untuk menyusun semula para penjaja di Kuala Lumpur dengan mengenal pasti lokasi yang bersesuaian dengan konsep penjajaan yang teratur dan bersih.
“Ia sejajar dengan matlamat yang ditetapkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu mewujudkan persekitaran serta peluang yang lebih baik buat para penjaja di Kuala Lumpur,” ujarnya.- WILAYAHKU