DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melaksanakan operasi bersepadu meroboh struktur haram di 11 premis termasuk satu unit kediaman yang dibina di atas tanah rizab jalan di sekitar Segambut pada Ahad.
DBKL memaklumkan tindakan diambil melalui operasi bersepadu membabitkan Polis Diraja Malaysia, Syarikat Bekalan Air Selangor, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam serta Alam Flora.
Selain itu, jabatan dalaman DBKL yang terlibat dalam ops ini ialah Jabatan Penguatkuasaan, Jabatan Kejuruteraan Mekanikal dan Elektrikal, Jabatan Pengangkutan Bandar, Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar serta Pejabat Cawangan Segambut.
DBKL berkata melalui hasil daripada operasi yang dijalankan, 10 unit premis yang membina struktur tambahan hingga menutup longkang dan menutup laluan awam telah dirobohkan.
“Dua lagi pemilik premis telah berjanji untuk membuka sendiri struktur sambungan di premis mereka serta membersihkan semua halangan di tempat awam.
“Sementara itu, satu unit rumah yang diubah suai tidak selaras dengan pelan yang telah diluluskan oleh DBKL dan dibina di atas rizab jalan awam juga telah dirobohkan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Tambahnya, sisa struktur yang dirobohkan telah dilupuskan oleh DBKL selepas operasi tamat.
“Kesemua barangan yang disita pula telah dibawa ke Setor Sitaan Jalan Lombong, Taman Miharja Cheras untuk tindakan rekod dan dokumentasi,” katanya.
Dalam masa sama, DBKL berkata sebanyak tujuh kes sitaan serta-merta telah dilaksanakan atas kesalahan meletakkan barangan perniagaan di tempat awam di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 serta satu notis kompaun di bawah UUK Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (WPKL) 2016.
“Pihak DBKL akan meneruskan tindakan dan pemantauan dari semasa ke semasa di lokasi tumpuan yang telah dikenal pasti,” katanya.
Sekiranya terdapat sebarang aduan, orang awam boleh berhubung atau menyalurkan maklumat di pautan https://adukl.dbkl.gov.my/. – WILAYAHKU