Berita

DBKL rekod 435 tindakan sita sepanjang Januari hingga Jun

- Diterbit 15 Julai 2024 10:31 PM MYT

JABATAN Penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah merekodkan sebanyak 435 tindakan sitaan terhadap warga asing di sekitar Pusat Bandar Utara dari Januari sehingga Jun lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata DBKL juga telah mengeluarkan sebanyak 20 Notis Kesalahan di bawah Undang-Undang Kecil (Perlesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian WPKL) 2016 di atas kesalahan mengambil mana-mana pekerja warga asing tanpa permit kerja yang sah.

“Selain itu, sebanyak 1,723 Notis Kesalahan di bawah Kaedah- Kaedah Lalulintas Jalan 1959 dan Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi pelbagai kesalahan lalu lintas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi kamar khas di Parlimen hari ini.

Menurut Zaliha, DBKL mempunyai bidang kuasa yang terhad, tertakluk kepada aktiviti yang dijalankan tanpa lesen serta premis yang mengajikan pekerja warga asing tanpa kebenaran di bawah peruntukan Undang-Undang Kecil (Pelesenan Penjaja WPKL) 2016 dan UndangUndang Kecil (Perlesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian WPKL) 2016.

“Lawatan turun padang saya ke Pasar Borong Kuala Lumpur pada 13 Julai lalu, jam 2.30 pagi mendapati majoriti warga asing yang berniaga di sekitar kawasan pasar borong ini merupakan individu pemegang kad Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR), dan sebahagian kecil pula adalah warga asing tanpa izin,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas