DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengesahkan tiga pegawai penguat kuasanya yang terbabit dalam insiden melibatkan seorang peniaga belon di Jalan Tuanku Abdul Rahman telah direhatkan sementara bagi memberi laluan kepada siasatan dalaman serta siasatan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif, berkata keputusan itu diambil bagi memastikan ketelusan siasatan tanpa sebarang campur tangan.
“DBKL tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk salah laku yang mencemarkan imej penguatkuasaan dan menjejaskan kepercayaan awam. Kita mahu siasatan berjalan dengan adil, telus dan profesional,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Maimunah, pihaknya juga telah menziarahi peniaga belon, Muhamad Za’imuddin Azlan, yang kini menerima rawatan di hospital, selain memberi jaminan bahawa DBKL akan menanggung kos perubatannya sepanjang tempoh pemulihan.
“Kami prihatin dengan keadaan beliau dan sebagai tanda tanggungjawab sosial, DBKL bersedia menanggung kos rawatan beliau, tertakluk kepada keperluan dan semakan lanjut,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat agar tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih berhubung insiden ini bagi membolehkan siasatan berjalan dengan lancar.
“Kita serahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan dan DBKL komited untuk mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan hasil siasatan,” katanya.
Sebelum ini, insiden peniaga belon itu mencetuskan kontroversi selepas video kejadian tular di media sosial, mencetuskan pelbagai reaksi termasuk daripada badan bukan kerajaan (NGO) dan orang ramai.
PDRM mengesahkan kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan setakat ini, lima individu telah dipanggil untuk memberi keterangan.-WILAYAHKU