PENYERTAAN Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) pada Festival Floria Diraja Putrajaya (FRP) 2024 membuahkan hasil apabila berjaya memenangi enam anugerah sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000 sebagai ganjaran utama yang diterima.
Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri TPr Dr Maimunah Mohd Sharif merakamkan ucapan tahniah kepada seluruh pasukan DBKL kerana berjaya mempertahankan anugerah utama yang dipertandingkan pada penyertaan tahun ini.
“Tahniah diucapkan kepada seluruh pasukan DBKL yang telah berjaya merangkul anugerah pada Floria Diraja Putrajaya tahun ini. Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan atas penglibatan semua jabatan dalaman, wakil- wakil kebun komuniti dan semua yang berkaitan atas usaha dan kerjasama yang diberikan. Kejayaan ini adalah milik kita bersama,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Apresiasi dan Penyampaian Hadiah Floria Diraja Putrajaya 2024 di Persisiran Tasik, Presint 2, Putrajaya baru-baru ini.
Menurut Maimunah, dengan pencapaian yang membanggakan sempena penyertaan DBKL buat kali ke-13, beliau berharap DBKL mampu terus berusaha untuk mempertahankan anugerah tersebut pada masa hadapan.
Dalam pada itu, Maimunah turut memaklumkan hampir 80,000 pengunjung yang hadir ke reruai DBKL sepanjang festival itu berjalan dari 22 hingga 31 Ogos.
Terdahulu, antara anugerah yang dimenangi DBKL ialah Floria Garden Award (kategori kerajaan); Floria Garden Starlight Award; Anugerah Keseluruhan Floria Garden Prime Award serta Floria Most People’s Choice Garden Award.
Selain itu, dua anugerah lain pula kategori Kebun Komuniti di bawah penyelarasan Local Agenda 21 iaitu Anugerah Kebun Komuniti: Laman Kreatif dan Kebun Komuniti: Laman Ceria.
Hadiah disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa pada Majlis Apresiasi dan Penyampaian Hadiah Floria Diraja Putrajaya 2024.
Floria Diraja Putrajaya 2024 yang berlangsung di tapak festival Persisiran Tasik, Presint 2, dirasmikan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah pada 22 Ogos lalu.
Pelbagai spesies dan kultivar bunga-bungaan serta tanaman hiasan dipamerkan dan turut dipersembahkan hibrid baharu orkid spesies Vanda yang dinamakan Vandachostylis Queen Zarith Sofiah sempena kehadiran Raja Zarith Sofiah merasmikan festival.
Floria Diraja Putrajaya kali ke-13 bertemakan Raikan Bersama dianjurkan Perbadanan Putrajaya (PPj) dengan sokongan Jabatan Wilayah Persekutuan. – WILAYAHKU